SEPANG, 23 Julai — Kerajaan akan menangani masalah kemudahan asrama yang tidak mencukupi di beberapa buah politeknik dengan melaksanakan langkah penambahbaikan, termasuk membaiki asrama yang dikenal pasti memerlukan perhatian, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata isu penginapan itu timbul susulan peningkatan ketara permohonan ke politeknik dan institusi kemahiran hasil usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Lonjakan Permohonan Melebihi 125 Peratus
“Dari sudut positif, situasi ini sebenarnya hasil daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai lepasan SPM memilih bidang berkaitan teknikal, terutamanya kursus yang ditawarkan di politeknik dan institusi kemahiran lain.
“Buat pertama kalinya, kami mencatatkan lebih 125 peratus pencapaian dalam permohonan. Oleh itu, kami telah menyediakan tempat untuk mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama di Forum Presiden Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2026 di sini hari ini.
Zambry berkata peningkatan kemasukan pelajar mengakibatkan kekangan penginapan di beberapa politeknik, terutamanya institusi yang mempunyai bangunan asrama lama yang memerlukan penyelenggaraan.
Langkah Segera Pembaikan Asrama
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil maklum perkara itu dan sedang mengenal pasti asrama yang memerlukan kerja pembaikan, terutamanya yang berada dalam keadaan daif, bagi memastikan pelajar disediakan penginapan yang lebih baik.
“Kami (KPT) telah pun memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan kerja pembaikan di beberapa politeknik yang dikenal pasti dalam keadaan daif dan memerlukan penyelenggaraan. Insya-Allah, kami akan menangani isu ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa seramai 30,488 pelajar baharu mendaftar di politeknik seluruh negara bagi pengambilan Sesi 1 2026/2027 pada 22 Jun lalu, mencatatkan pencapaian cemerlang melebihi 125 peratus.
Arahan Segera kepada Ketua Pengarah
Berikutan peningkatan mendadak itu, Zambry berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah, untuk mengambil langkah segera berhubung penempatan dan perkara berkaitan. — Bernama



