Agrobank sumbang RM161,000 perkasa pendidikan digital SMK Kuala Perlis
Agrobank sumbang RM161,000 untuk pendidikan digital SMK Kuala Perlis

Agrobank telah menyalurkan sumbangan bernilai RM161,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis bagi memperkukuh akses pelajar kepada pendidikan digital. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pre-Google for Education Reference Institution (Pre-GRI) yang merangkumi kemudahan infrastruktur digital, peranti pembelajaran, dan sokongan ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut sempena perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis yang terletak di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis. Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin; Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil; Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan Agrobank, Fairoshawal Idrus; dan Ketua Shariah Kumpulan Agrobank, Hishamuddin Ab Hamid.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut kenyataan Agrobank, inisiatif ini bertujuan membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran berasaskan teknologi, meningkatkan literasi digital, serta membina kemahiran masa depan yang relevan dengan keperluan semasa. Melalui sumbangan ini, diharapkan pelajar SMK Kuala Perlis dapat memanfaatkan teknologi dalam proses pembelajaran mereka dengan lebih efektif.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan mengetuai aktiviti kayuh perahu panjang Agrobank yang bermula dan berakhir di Jeti Kastam Kuala Perlis. Program ini diadakan bersama MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, yang membabitkan lebih 100 peserta terdiri daripada ketua jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Saleha Ali, 82 tahun, dari Taman Bukit Kubu; Habsah Ahmad, 69 tahun, dari Kampung Tanah Baru; dan Rohani Isa, 56 tahun, dari Kampung Bukit Tok Po.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga