Persaingan memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang semakin mencabar menyebabkan murid perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
PKSK uji pemikiran kritis, bukan sekadar akademik
Pengasas Fly High Education Centre (FHEC), Wan Rafidah Wan Ali, berkata PKSK bukan sekadar menilai pencapaian akademik, sebaliknya turut menguji keupayaan murid berfikir secara kritis, membuat penaakulan dan menyelesaikan masalah. “Persaingan untuk memasuki MRSM dan SBP semakin sengit dari tahun ke tahun. Oleh itu, murid perlu diberikan pendedahan yang tepat dan latihan sistematik agar mereka lebih bersedia, yakin serta mampu memberikan prestasi terbaik ketika menduduki PKSK,” katanya.
Konvensyen Mega PKSK 2026 sertai lebih 350 murid
Beliau berkata demikian sempena Konvensyen Mega PKSK 2026 yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), Shah Alam. Program itu disertai lebih 350 murid yang bakal menduduki PKSK sebagai persediaan awal merebut peluang melanjutkan pengajian ke MRSM dan SBP. Menurut penganjur, peserta diberi pendedahan mengenai format PKSK, teknik menjawab soalan, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), strategi pembelajaran berkesan serta persediaan mental dan sahsiah.
Sheikh Muszaphar kongsi pengalaman kejayaan
Konvensyen itu turut menampilkan Sheikh Muszaphar Shukor, yang berkongsi pengalaman kejayaannya sebagai rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki ke angkasa lepas. Dalam sesi perkongsian bersama peserta, beliau menekankan kepentingan disiplin, usaha berterusan dan keberanian meletakkan cita-cita tinggi dalam mencapai kejayaan. Program itu turut menyaksikan pelancaran beberapa bahan rujukan pendidikan, termasuk buku berkaitan persediaan PKSK dan UPKK, sebagai panduan tambahan kepada murid.



