Kerajaan peruntuk RM20.8 juta bantu murid India menerusi dua inisiatif Mitra
RM20.8 juta bantu murid India via inisiatif Mitra

Kerajaan memperuntukkan RM20.8 juta menerusi dua inisiatif bagi meningkatkan peluang pendidikan masyarakat India, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 50,000 murid di seluruh negara. Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, berkata inisiatif Perabot Madani dan Kalvi Madani yang dilaksanakan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) mencerminkan komitmen jangka panjang kerajaan untuk memastikan murid India tidak tercicir dalam pendidikan.

Perabot Madani: RM12.8 juta untuk 361 sekolah Tamil

Berucap pada pelancaran peringkat kebangsaan kedua-dua program itu di SJK(T) Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, hari ini, Ramanan berkata Perabot Madani menerima peruntukan RM12.8 juta bagi menyediakan perabot dan kemudahan pendidikan kepada 361 sekolah Tamil bantuan kerajaan di seluruh negara. Inisiatif itu dijangka memanfaatkan 39,692 murid dan 5,290 guru melalui penyediaan meja, kerusi, perabot bilik guru, papan putih, kelengkapan kantin serta perabot makmal komputer.

“Pendidikan berkualiti mesti bermula dengan persekitaran pembelajaran yang berkualiti. Kita mahu mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif supaya murid dapat belajar dengan selesa dan guru pula dapat mengajar dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kalvi Madani: RM8 juta untuk tuisyen percuma dan bantuan nutrisi

Sementara itu, program Kalvi Madani bernilai RM8 juta akan dilaksanakan di 315 sekolah Tamil terpilih, membabitkan kira-kira 10,410 murid daripada keluarga B40. Program itu menyediakan kelas tuisyen percuma bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain bantuan nutrisi, kit pembelajaran serta peranti digital kepada sekolah yang mengambil bahagian.

Ramanan berkata Kalvi Madani yang menyasarkan murid Tahun 4 hingga Tahun 6 turut merangkumi peruntukan elaun kepada penyelaras program dan tenaga pengajar yang terbabit. “Pendidikan adalah asas kepada pembangunan modal insan berkualiti. Kerajaan akan terus memastikan masyarakat India mendapat akses kepada peluang pendidikan yang lebih baik melalui inisiatif yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata pelaburan dalam pendidikan kekal antara kaedah paling berkesan untuk memutuskan kitaran kemiskinan serta melahirkan generasi muda yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masa depan negara.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga