4,694 pelajar Sarawak terima pendidikan percuma FTES, sasaran 10,000 tahun ini
4,694 pelajar Sarawak terima pendidikan percuma FTES

KUCHING, 12 Mei — Seramai 4,694 pelajar dari empat institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sarawak telah ditawarkan pendidikan percuma melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat ini.

Perincian tawaran FTES

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, berdasarkan pecahan, i-CATS University College melibatkan 172 pelajar, Curtin University Malaysia (543 pelajar), Kampus Sarawak Swinburne University of Technology (1,959 pelajar) dan Universiti Teknologi Sarawak (2,020 pelajar).

“Jumlah ini dijangka meningkat apabila pengambilan pelajar baru bermula pada Jun dan September, dan kami menyasarkan 10,000 pelajar di seluruh Sarawak menikmati FTES tahun ini,” katanya pada sesi Soal Jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro) mengenai bilangan pelajar yang telah mendapat manfaat daripada FTES Sarakat setakat ini.

Sejumlah 1,433 pelajar tolak tawaran

Sementara itu, Dr Annuar berkata seramai 1,433 pelajar memilih untuk tidak menerima tawaran pendidikan percuma tersebut.

“Kebanyakan mereka yang menolak melibatkan pelajar tahun akhir yang mempunyai kontrak atau perjanjian sedia ada dengan penaja biasiswa masing-masing.

“Mereka tidak boleh melanggar kontrak sedia ada. Jika mereka menolak tawaran FTES, ini akan membuka peluang kepada pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga yakin bahawa FTES dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang berdasarkan pendapatan negeri yang semakin meningkat setiap tahun dan penubuhan Tabung Kekayaan Masa Depan Sarawak menjamin masa depannya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga