KUALA LUMPUR, 9 Julai — Kerajaan memutuskan caruman kepada Skim Insurans Bukan Perkerjaan (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi diwajibkan bagi pekerja tempatan dan sebaliknya menjadi sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan Kabinet selepas maklum balas awam
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, bagaimanapun, caruman kepada Skim Lindung 24 Jam akan kekal diwajibkan bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata Kabinet membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan maklum balas awam mengenai pelaksanaan skim tersebut.
"Pekerja tempatan kini boleh memilih sama ada untuk menyumbang kepada Skim Lindung 24 Jam berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing.
"Mekanisme pelaksanaan dan proses penyertaan sukarela oleh pekerja tempatan akan diumumkan oleh Perkeso tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Skim kekal penting untuk perlindungan sosial
Walaupun penyertaan dalam skim itu kini sukarela bagi pekerja tempatan, Ramanan berkata skim tersebut kekal sebagai inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu bekerja dan di luar tempat kerja, termasuk semasa menjalankan aktiviti harian.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji mekanisme pelaksanaan skim itu menjelang akhir tahun, termasuk hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan dan kemampanan pembiayaannya, bagi memastikan ia terus memberi manfaat kepada rakyat.
"Jika perlu, hasil kajian akan dibentangkan di Parlimen di bawah cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)," katanya.
Beliau menambah bahawa Perkeso akan terus meningkatkan kesedaran awam mengenai faedah skim tersebut dan kepentingan perlindungan keselamatan sosial. — Bernama



