PETALING JAYA: Pemandu van persiaran yang membawa lapan warga India terbabit dalam kemalangan di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi didapati positif syabu. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Muhammad Zaki Ramat, berkata polis menerima laporan sekitar jam 10.30 pagi.
Kejadian nahas van persiaran
Siasatan awal mendapati van persiaran dari arah Kuala Lumpur menuju Melaka itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan. Pemandu warga tempatan berusia 55 tahun itu tidak cedera dalam kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine (syabu),” katanya menurut Sinar Harian. Beliau berkata pemandu itu telah ditahan untuk permohonan reman esok.
Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan. Tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera ringan. Mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan lapan warga India, termasuk tiga kanak-kanak, berdepan detik cemas selepas van persiaran yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.



