PUTRAJAYA, 22 Mei — Statistik projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai 'lewat' dan 'sakit' di Semenanjung Malaysia menunjukkan trend penurunan setakat 30 April tahun ini, berbanding Mac, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata sebanyak 130 projek direkodkan di bawah kategori 'lewat', dan 302 projek di bawah kategori 'sakit', manakala hanya satu projek baharu diklasifikasikan sebagai 'terbengkalai'.
“Perkembangan positif ini membuktikan bahawa pendekatan proaktif dan bersepadu yang diambil mula membuahkan hasil yang lebih teratur dan terfokus,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) 2026, hari ini.
Beliau menambah, sejak penubuhannya pada 2023, TFST berjaya memulihkan 1,576 projek perumahan swasta, melibatkan 185,525 unit rumah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM148.21 bilion.
Daripada jumlah tersebut, 131 projek berjaya dipulihkan daripada status 'sakit' kepada 'aktif', 1,410 projek 'sakit' disiapkan sepenuhnya dan memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), dan 35 projek 'terbengkalai' berjaya dihidupkan semula, sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau pelan penyelesaian pembeli.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan hak pembeli rumah.
“Fokus kami bukan sekadar memulihkan struktur fizikal, tetapi memulihkan impian dan kebajikan rakyat yang lama terjejas akibat isu melibatkan projek perumahan sakit,” katanya.
Untuk mengekalkan momentum positif, beliau berkata KPKT juga bertekad mengurangkan secara beransur-ansur statistik pembangunan bermasalah, sambil merealisasikan sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
Rangka kerja pemantauan juga akan terus diperkukuh, bersama intervensi awal yang disasarkan, untuk melindungi sepenuhnya hak pembeli rumah di negara ini. — Bernama



