Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang warga Indonesia atas kesalahan menyeludup keluar lebih 1kg syabu dengan menyorok sebahagian dadah di seluar dalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Beliau berkata, mahkamah mengambil kira fakta Amriadi, 40, ditahan ketika cuba meninggalkan Malaysia, menunjukkan keberanian dan tekadnya melanggar undang-undang negara ini, walaupun menyedari risiko ditahan ketika melalui pemeriksaan keselamatan di Terminal Feri Tawau.
Tertuduh didakwa mengedar 1,078.9g methamphetamine di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau pada 9.45 pagi 11 Okt 2024.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengedar 1,078.9g methamphetamine di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau pada 9.45 pagi 11 Okt 2024. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh dikenakan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding bermula 10 Mac lalu, pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.
Dalam rayuan mitigasi, peguam Jhesseny P Kang memaklumkan anak guamnya pesalah kali pertama yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan, tetapi kini tiada pekerjaan.
Beliau berkata, tertuduh telah insaf dan kesal atas kesalahan itu serta memohon hukuman lebih ringan selaras Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberi budi bicara kepada mahkamah sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. “Trend semasa juga menunjukkan mahkamah lebih cenderung menjatuhkan hukuman penjara,” katanya menurut Berita Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, bagaimanapun berhujah berat dadah dirampas kekal faktor utama perlu dipertimbangkan dalam penjatuhan hukuman dan hukuman berat yang bersifat pencegahan wajar dikenakan kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, Amriadi ditahan ketika hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pemeriksaan badan mendapati dia memakai bengkung hitam, dengan lima bungkusan syabu disembunyikan di seluar dalam wanita dipakainya dan sejumlah lagi disorok di tapak kasutnya.



