Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan persekutuan. Menurut beliau, landskap politik Malaysia yang semakin berubah menjadikan pentadbiran di peringkat pusat dan negeri tidak lagi terikat secara langsung.
Model Politik Berbeza Tidak Menimbulkan Masalah
Mohamad Hasan, yang juga dikenali sebagai Tok Mat, berkata mandat pentadbiran di peringkat pusat dan negeri mempunyai acuan berbeza. Malah, model politik di beberapa negeri lain membuktikan bahawa perbezaan ini boleh diamalkan tanpa menimbulkan sebarang isu.
“Banyak negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai masalah. Di Sabah, ia unik, parti yang menjadi pembangkang tetapi bersama Kerajaan Perpaduan di pusat. Jadi dinamik politik Malaysia telah berubah, kita tidak harus terikat dengan cara berfikir lama,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di sebuah gerai di Jalan Sungai Abong, Muar.
Beliau hadir bersama calon BN bagi kawasan Simpang Jeram, Datuk Azman Ismail, dan calon BN bagi Bukit Naning, Mohd Ghazali Sabari @ Atan.
Kestabilan Politik Penting untuk Ekonomi Johor
Mengulas aspek sosioekonomi, Mohamad berkata kestabilan politik di bawah BN adalah penting untuk memastikan Johor terus menjadi peneraju dalam menarik pelaburan asing. Menurutnya, prestasi ekonomi yang kukuh akan diterjemahkan kepada peningkatan hasil negeri yang akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat.
“Johor adalah negeri yang berada di barisan hadapan dari segi menerima pelabur dari luar negara. Ini adalah perkara yang sangat baik; dalam dua atau tiga tahun ia akan diterjemahkan kepada hasil negeri. “Kita telah lihat hasil negeri daripada prestasi MB (Menteri Besar) yang beliau berikan kepada rakyat Johor. Jadi rakyat Johor jangan buat silap, teruskan sokong Barisan Nasional untuk terus mentadbir Johor dan bersama-sama kita akan nikmati hasil sokongan kita nanti,” katanya.
Jangan Bergantung kepada Belas Kasihan Pihak Luar
Menyentuh kenyataan baru-baru ini oleh PAS yang membayangkan sokongan undi kepada calon BN di kawasan tertentu, Mohamad mengingatkan jentera parti supaya tidak terlalu selesa dan mengharapkan belas kasihan daripada pihak luar.
“Kita mesti terus bekerja keras. Dalam kehidupan ini, kita tidak sepatutnya mengharapkan belas kasihan daripada orang lain. Kita bina kekuatan kita atas kekuatan kita sendiri,” tegasnya.
PRN Johor 2026: 172 Calon, 56 Kerusi
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Untuk berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.



