KOTA KINABALU: Mahkamah Kororer hari ini diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir, 13, pernah mendakwa diganggu oleh seorang pelajar berperwatakan 'tomboy' ketika berada di asrama. Pendedahan itu dibuat oleh ibu saudaranya, Nur Shira Abdullah, 46, yang merupakan saksi ke-71 dalam inkues kematian remaja tersebut.
Gangguan diceritakan ketika cuti Aidilfitri
Nur Shira berkata, Zara Qairina menceritakan sendiri perkara itu kepadanya ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri tahun lepas. Menurutnya, remaja itu memaklumkan gangguan tersebut diketahuinya berdasarkan cerita rakan sebilik, selain mendakwa pernah berdepan beberapa situasi lain yang membuatkannya berasa tidak selesa sepanjang berada di asrama.
“Semasa Zara menceritakan perkara tersebut kepada kami, anak saya secara tidak sengaja merakam penceritaannya,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Aduan arahan ambil air panas pada waktu malam
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina pernah mengadu diarahkan turun ke tingkat bawah asrama kira-kira 1 hingga 2 pagi untuk mengambil air panas dari penapis air, sedangkan mangsa berada di tingkat tiga. Selain itu, katanya, mangsa pernah memaklumkan wang miliknya hilang dan dipercayai dicuri.
Nur Shira berkata, sepanjang pengetahuannya, perkara yang sering diceritakan Zara Qairina lebih berkait dengan kehidupan di sekolah dan asrama serta hubungannya dengan rakan-rakan, bukan masalah keluarga. “Zara tidak pernah menyatakan bahawa beliau tidak disayangi atau takut kepada ibunya,” katanya. “Pada pemerhatian saya, Zara berkongsi perkara-perkara tersebut sebagai sesuatu yang membuat dia tidak selesa, namun dia masih mampu bercerita seperti biasa.”
Aduan kepada warden tidak dipercayai
Saksi turut mendakwa Zara Qairina pernah memaklumkan bahawa dia ada membuat aduan kepada warden, namun aduannya tidak dipercayai. Menyentuh isu penolakan bedah siasat, saksi menafikan keluarga membuat keputusan melulu, sebaliknya doktor di bilik forensik hanya mengarahkannya menandatangani borang tanpa penjelasan terperinci.
Beliau juga menafikan dakwaan kononnya mereka membincangkan isu bedah siasat di kawasan awam, menegaskan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat hanya menyuarakannya sekali di dalam wad tanpa kehadiran pelawat lain.
Latar belakang kes
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi. Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini mengarahkan prosiding inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis. Inkues bersambung esok.



