Pengasuh direman enam hari bantu siasatan kematian bayi tujuh bulan
Pengasuh direman enam hari bantu siasatan kematian bayi

SEREMBAN: Seorang pengasuh direman enam hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki tujuh bulan di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan, dekat sini, Selasa lalu.

Perincian penahanan

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata wanita berusia 38 tahun itu direman mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Beliau menambah, laporan bedah siasat masih belum diperoleh bagi mengenal pasti punca kematian, dan siasatan diteruskan.

Semalam, media melaporkan bayi tersebut dipercayai tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan pengasuh di rumahnya di Bandar Sri Sendayan. Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan. Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditidurkan dalam buaian dan diberikan puting silikon.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rumah tidak berdaftar

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Dah, memaklumkan hasil siasatan mendapati rumah jagaan itu tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kelulusan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984. Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, beberapa kanak-kanak lain turut berada di bawah jagaan wanita tersebut, dan pihaknya mengarahkan rumah itu supaya tidak beroperasi.

“Kebanyakan kes melibatkan kematian atau kecederaan kanak-kanak berlaku di rumah pengasuh dan taska tidak berdaftar,” katanya. Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memilih taska berdaftar bagi memastikan anak mereka diasuh dan dijaga mengikut peraturan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Kita ingin mendidik masyarakat supaya menghantar anak ke taska berdaftar kerana premis yang diluluskan telah melalui pemeriksaan keselamatan dan pemantauan sewajarnya, bukan sahaja dari JKM, tetapi juga bomba, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Jangan hanya melihat faktor murah kerana ia melibatkan nyawa kanak-kanak. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dari awal.”

Beliau turut menyeru pengasuh atau petugas pusat asuhan supaya mengikuti kursus Asuhan Permata secara percuma di negeri ini untuk mempelajari kaedah penjagaan kanak-kanak yang selamat serta pengendalian situasi kecemasan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga