PUTRAJAYA, 22 Mei — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan telah menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk terus menghayati semangat Rukun Negara, di samping menghormati institusi diraja dan perpaduan negara.
Beliau menegaskan bahawa rakyat juga harus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang berlandaskan al-Quran dan sunah, sambil mengekalkan keseimbangan kuasa dan keharmonian negara demi kepentingan bersama.
“Saya mengambil iktibar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan bagi pihak semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh Baginda.
“Rukun Negara yang secara falsafahnya telah diangkat sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan dan sejak sekian lama menjadi asas negara Malaysia, jelas menggariskan hubungan antara Yang di-Pertuan Agong dengan rakyat dalam memelihara kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Titah Sultan Selangor
Baru-baru ini, Sultan Sharafuddin menyatakan harapan agar orang ramai, terutamanya generasi muda yang melawat Dataran Selangor di Shah Alam di mana Plak Monumen Rukun Negara terletak, akan membaca dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Baginda juga menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk melawat Dataran Selangor dua kali sebulan bagi membaca dan memahami maksud Rukun Negara yang terukir pada plak monumen tersebut. — Bernama



