Kanak-kanak cedera selepas kerusi ditarik, tak dapat ke sekolah 4 bulan
Kanak-kanak cedera kerusi ditarik, tak hadir sekolah 4 bulan

PADANG BESAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa mengalami kecederaan yang membataskan pergerakan sehingga tidak dapat hadir ke sekolah hampir empat bulan selepas dipercayai terjatuh akibat kerusi yang ingin diduduki disyaki ditarik oleh rakan sekelas pada Februari lepas.

Kecederaan dan Diagnosis

Ibu kepada mangsa, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang. Selepas itu, mangsa didiagnosis mengalami gangguan fungsi serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) susulan kejadian pada 11 Februari lalu.

Menurut Norasikin, kejadian berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran apabila anaknya ingin duduk setelah memberikan salam kepada guru, sebelum terjatuh ke lantai selepas kerusi dipercayai ditarik oleh seorang rakan perempuan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kesan Selepas Kejadian

“Anak saya mula mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama pada 13 Februari untuk cuti sekolah bagi menyambut Ramadan. Saya tahu mengenai kejadian menimpa anak saya ketika saya membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sejak itu, anaknya beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana sakit berterusan dan mengalami kebas badan. Hingga kini, dia masih dalam tempoh cuti sakit. “Sekarang, anak saya tidak dapat bergerak aktif seperti biasa, tidak boleh berdiri atau duduk terlalu lama. Pelajarannya juga turut terjejas,” tambahnya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Chuping.

Perubahan Emosi dan Psikologi

Norasikin mendakwa perubahan emosi anaknya semakin ketara selepas kejadian itu, termasuk kerap termenung, menangis secara tiba-tiba, dan meracau tidak tentu masa. Mangsa juga meluahkan perasaannya menerusi catatan dan lukisan dalam sebuah buku.

“Menerusi catatan dalam buku seperti diari ini, banyak isi hati anak saya luahkan. Ia menggambarkan kawan-kawan tidak mahu berkawan dengannya, kawannya suruh dia buat kerja sekolah. Paling saya sedih, lukisannya menunjukkan ada seorang individu berada di hujung tebing tinggi menghadap bulan, seolah-olah menggambarkan tekanan dialami sudah berpenghujung,” katanya.

Norasikin berharap pihak berwajib dapat membantu mendapatkan keadilan untuk anaknya yang disifatkan mempunyai potensi dalam akademik.

Siasatan Polis

Ketua Polis Padang Besar, Shokri Abdullah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian. Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga