Segalanya berubah buat Muhammad Darwisy Mustafani apabila potret bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang dilukis di atas kepingan pelitup muka menarik perhatian ramai ketika pandemik Covid-19. Sebelum itu, anak muda berusia 25 tahun itu hanya memuat naik video proses melukis di TikTok sebagai simpanan peribadi.
“Lukisan itu dapat banyak perhatian dan ramai yang tanya untuk beli,” katanya kepada FMT sambil menyatakan perkembangan itu membuatkannya sedar seni bukan sekadar hobi, tetapi boleh menjadi kerjaya jika dilakukan dengan serius.
Dari pelitup muka ke songket
Graduan seni bina dari Kota Bharu, Kelantan, itu kemudian mula mencuba pelbagai bahan untuk menghasilkan karya yang berbeza. Antara bahan pernah digunakan termasuk buah durian, kelapa, baju Melayu dan kain pelikat. Darwisy akhirnya memilih songket sebagai identiti seninya kerana kain tradisional itu dekat dengan budaya Melayu. Di tangannya, songket dijadikan kanvas untuk menghasilkan potret eksklusif yang dihiasi warna, kepingan emas dan batu Swarovski.
“Setakat yang saya tahu, saya mungkin antara yang terawal menghasilkan lukisan di atas songket. Tetapi di Malaysia juga ada pengkarya lain yang menggunakan kain tradisional seperti batik sebagai medium seni,” katanya.
Proses mencabar
Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata melukis di atas songket bukan kerja mudah. Menurutnya, setiap karya perlu melalui beberapa proses teliti, termasuk sapuan lapisan primer, susunan kepingan emas dan perincian batu Swarovski. “Ada karya mengambil masa berminggu-minggu untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan tahap kesukarannya,” katanya.
Selain lukisan potret, Muhammad Darwisy Mustafani turut menghasilkan karya seni berasaskan wau dan khat diinspirasikan daripada motif tradisional Melayu.
Peluang ke istana
Usahanya mengangkat songket sebagai medium seni membuka peluang besar apabila beliau dihubungi seorang pegawai polis untuk menghasilkan potret sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian 2024. Pada mulanya, Darwisy tidak tahu lukisan itu sebenarnya ditempah untuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia.
“Detik saya menerima mesej itu memang tidak dijangka. Saya agak terkejut kerana sebagai artis yang masih baharu terus diberi peluang menghasilkan projek sebesar itu,” katanya. Darwisy berkata, karya diraja itu antara tugasan paling mencabar kerana setiap perincian pakaian istiadat, aksesori dan alat kebesaran perlu dilukis dengan tepat.
Pengiktirafan Brunei
Karyanya kemudian mendapat perhatian di Brunei apabila beliau menjadi antara pelukis Malaysia yang melalui sesi sembah kenal bersama kerabat diraja sempena ulang tahun keputeraan ke-52 Putera Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah. “Kalau dekat Malaysia biasanya saya tidak akan masuk sendiri istiadat untuk jumpa kerabat diraja, selalunya ada perantara. Tapi untuk kerabat diraja Brunei, saya perlu menyembahkan sendiri lukisan itu serta menerangkan karya berkenaan,” katanya.
Menurut Darwisy, Putera Mahkota Brunei turut menyatakan rasa kagum terhadap karyanya sebelum lukisan itu dipindahkan ke pejabat peribadi baginda.
Kritikan dan harapan
Di sebalik kejayaan itu, Darwisy masih menerima kritikan segelintir netizen yang menganggap penggunaan songket sebagai pembaziran. Namun, beliau berkata karya itu sebenarnya boleh memperkenalkan budaya Melayu kepada lebih ramai orang. “Kita bukan nak bazirkan songket. Bila kita hasilkan lukisan seperti ini, ia boleh dipamerkan di dinding untuk orang ramai melihat dan mengenali budaya kain tradisional kita,” katanya.
Darwisy yang turut mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya berkata, beliau tidak menyangka percubaan melukis atas songket membawa kepada tempahan berprofil tinggi. Kini, selepas dua tahun serius membina kerjaya seni, jadualnya penuh sehingga tahun depan. “Dalam lima tahun akan datang, saya harap karya saya dapat masuk ke semua istana di Malaysia. Setakat ini, lukisan saya pernah dipersembahkan di Istana Negara serta istana di Selangor, Pahang, Kedah dan Brunei,” katanya.



