‘Ubat Pahit’ Subsidi: Langkah Berjaga-Jaga untuk Ketahanan Ekonomi Negara
‘Ubat Pahit’ Subsidi untuk Ketahanan Ekonomi Negara

‘Ubat Pahit’ Subsidi: Langkah Berjaga-Jaga untuk Ketahanan Ekonomi Negara

Lonjakan harga minyak global memaksa kerajaan Malaysia untuk memperhalusi sistem subsidi tanpa mengorbankan kebajikan majoriti rakyat. Saya masih ingat ketika Budi Madani RON95 (BUDI95) diperkenalkan pada 30 September tahun lalu, ramai warga Malaysia tersenyum apabila membayar RM1.99 seliter untuk bahan bakar itu. Harganya lebih rendah berbanding RM2.05 sebelumnya. Seperti pengguna lain yang mahukan sesuatu yang murah, saya berharap harga itu berkekalan selama-lamanya, malah jika boleh diturunkan lagi.

Dunia yang Berubah dan Beban Subsidi

Namun, apabila konflik di Asia Barat meletus, terutama yang melibatkan Amerika Syarikat, Iran, dan Israel yang memuncak bulan ini, satu hakikat harus diakui – harga itu mungkin tidak lagi boleh kekal. Dunia hari ini bukan lagi seperti dahulu. Walaupun Malaysia adalah pengeluar minyak, kita tetap bergantung kepada import untuk keperluan domestik. Apabila harga global naik, kesannya datang dari dua arah: kos import meningkat dan pada masa yang sama, kerajaan perlu menanggung subsidi yang lebih besar.

Angkanya bukan kecil. Beban subsidi petrol dan diesel kini dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan, melonjak jauh berbanding sekitar RM0.7 bilion pada Januari lalu. Dalam keadaan itu, mengekalkan harga RON95 seliter di bawah BUDI95 bukan sesuatu yang ‘murah’, sebaliknya mahal dari sudut kewangan negara. Keadaan ini perlu diubati sebelum menjadi parah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pencegahan Ekonomi: Analogi Kesihatan

Dalam dunia kesihatan, kita selalu mendengar nasihat bahawa pencegahan lebih baik daripada rawatan. Jaga makan, bersenam, dan disiplin. Semuanya mungkin terasa susah pada awalnya, tetapi penting untuk mengelakkan kos rawatan yang lebih besar pada masa hadapan. Apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penyelarasan sementara kuota kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter, saya tidak dapat lari daripada membuat perbandingan: pencegahan dalam kesihatan sama seperti langkah berjaga-jaga dalam ekonomi.

Di sinilah saya mula melihat pelarasan ini dari sudut yang berbeza. Ia bukan tentang menarik balik bantuan sepenuhnya, tetapi menyesuaikan dos, seperti doktor mengurangkan atau menukar ubat mengikut keadaan pesakit. Langkah itu, atau yang saya anggap sebagai ‘ubat pahit’, perlu untuk memastikan subsidi terus sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa membebankan sistem kewangan secara keseluruhan.

Pendekatan Berimbang dalam Subsidi Diesel

Isu diesel pula memberi gambaran yang lebih jelas tentang pendekatan ini. Di Semenanjung, harga meningkat sehingga RM5.52 seliter buat sementara waktu. Namun, pada masa yang sama, bantuan turut ditambah: BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 sebulan. Golongan yang benar-benar bergantung kepada diesel, seperti petani dan pekebun kecil, tidak dibiarkan menanggung beban sendirian.

Tambahan pula, sistem kad fleet membantu sektor pengangkutan mengekalkan kos operasi, sekali gus mengelakkan kesan berantai kepada harga barangan. Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi ekonomi rakyat sambil menguruskan kewangan negara dengan bijak.

Analisis Data dan Kesan kepada Rakyat

Berbalik kepada BUDI95, kerajaan mengekalkan harga RON95 ketika negara jiran lain meningkatkan harganya. Bezanya, kuota subsidi menjadi 200 liter, jumlah yang ditentukan selepas kerajaan mengkaji corak penggunaan. Memang tidak dapat dinafikan, sebarang perubahan berkaitan subsidi akan menimbulkan kegusaran. Namun, data yang dikongsikan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memberi gambaran yang lebih seimbang.

Purata penggunaan petrol dalam kalangan rakyat adalah sekitar 100 liter sebulan, manakala hampir 90% menggunakan kurang daripada 200 liter. Saya ambil contoh penggunaan BUDI95 untuk diri sendiri pada Oktober tahun lalu: baki kuota ada sekitar 80 liter dengan perjalanan harian saya dari rumah di Puncak Alam ke Petaling Jaya untuk bekerja, kira-kira 40km sehala – bersamaan hampir 80km pergi dan balik.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Dengan lima hari bekerja seminggu, perjalanan saya mencecah sekitar 400km seminggu atau lebih kurang 1,600km sebulan. Cuma bulan ini, bakinya hanya tinggal 50 liter, dan ia mungkin kerana perjalanan lebih jauh untuk balik ke kampung. Bagi baki 80 atau 50 liter itu pula, mungkin saya boleh berkongsi dengan isi rumah yang layak BUDI95 untuk menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.

Ini bermakna majoriti rakyat, terutama B40, sebenarnya tidak akan terjejas secara signifikan oleh penyelarasan ini. Mereka kekal menikmati harga subsidi BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, sekali gus memastikan kos sara hidup tidak meningkat secara mendadak. Malah, pemandu e-panggilan yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki masih dilindungi dengan had lebih tinggi sehingga 800 liter sebulan.

Kesimpulan: Latihan untuk Ketahanan Masa Depan

Namun, saya tidak menafikan bahawa apa sahaja perubahan berkaitan subsidi tetap akan menimbulkan rasa tidak selesa. Ia seperti memulakan diet atau rutin senaman baharu yang berat pada awalnya, tetapi dilakukan kerana kita tahu kesannya lebih buruk jika tidak. Apa yang lebih penting, pengalaman ini mengajar kita sesuatu yang lebih besar.

Dunia kini bergerak dalam ketidaktentuan. Konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, dan turun naik harga komoditi semuanya boleh berlaku tanpa amaran. Walaupun penyelarasan kuota subsidi itu bersifat sementara, ia sebenarnya satu ‘latihan’ untuk kita semua – kerajaan dan rakyat – supaya lebih bersedia menghadapi krisis akan datang.

Dengan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengurus kewangan negara secara berhemah, kerajaan sedang berusaha mencari titik tengah antara keperluan ekonomi dan tanggungjawab sosial. Langkah ini mungkin tidak sempurna dan pasti ada ruang untuk penambahbaikan. Namun, dalam dunia yang semakin tidak menentu, keberanian membuat keputusan sukar demi kebaikan jangka panjang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Jika ‘ubat pahit’ ini diambil tepat pada waktunya, mungkin kita dapat mengelakkan ‘penyakit’ yang jauh lebih parah di kemudian hari, bukan sahaja untuk kita tetapi untuk generasi akan datang. Ini adalah pandangan yang penting untuk difahami dalam konteks ekonomi Malaysia yang sedang berkembang.