Kos pembinaan naik 15% kesan kenaikan harga diesel, industri terjejas
Kos pembinaan naik 15% kesan kenaikan harga diesel

Kenaikan harga diesel mula memberi kesan kepada industri pembinaan apabila kos bahan binaan meningkat 20% hingga 30% ketika ini. Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Muhsin Abdul Ghani berkata, keadaan itu menyebabkan kos pembinaan meningkat sekitar 10% hingga 15%, berbanding sebelum ini.

Pelanggan tangguh rancangan bina rumah

Beliau berkata, susulan itu sebahagian pelanggan mengambil pendekatan berhati-hati termasuk menangguhkan rancangan membina rumah kerana bimbang peningkatan kos semasa. “Ada pelanggan panik dan tarik ‘hand brake’ (tangguh), namun ada juga yang masih positif dan meneruskan projek pembinaan. Apabila berlaku kenaikan harga, kebiasaannya harga tidak akan turun semula,” katanya.

Kenaikan kos pembinaan turut menyebabkan harga rumah meningkat sekitar 10 hingga 15%, berbanding sebelum ini. Di Kelantan, rumah yang sebelum ini boleh dibina pada kos sekitar RM150 hingga RM160 bagi setiap kaki persegi, kini meningkat kepada RM170 hingga RM180 bagi setiap kaki persegi. “Di Kuala Lumpur pula, kos pembinaan rumah boleh mencecah antara RM250 hingga RM300 bagi setiap kaki persegi, menyebabkan penurunan jualan sekitar 30 hingga 50%,” katanya pada Majlis Ekspo Bina Rumah 2026 anjuran PKPM, di Kota Bharu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Cadangan pengecualian cukai pendapatan

Beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya pengecualian cukai pendapatan diberikan kepada individu yang membina rumah sebagai galakan kepada sektor pembinaan. Katanya, pihaknya bimbang peningkatan kos itu membuka ruang kepada sindiket penipuan yang menawarkan harga rumah terlalu rendah dan tidak munasabah bagi menarik pembeli. “Golongan penipu ini sangat pandai mempengaruhi pelanggan melalui promosi yang meyakinkan sehingga pembeli mudah terperdaya dengan tawaran rumah murah yang berisiko terbengkalai,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga