KUALA LUMPUR, 8 Mei — Ringgit susut nilai berbanding mata wang utama dan serantau termasuk dolar AS pada penutup Jumaat, apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang laporan pekerjaan bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat di tengah-tengah peningkatan semula konflik di Asia Barat.
Pada pukul 6 petang, ringgit turun tipis berbanding dolar AS kepada 3.9185/9230 daripada 3.9070/9115 pada penutup Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata NFP dijangka menurun kepada 65,000 pada April berdasarkan anggaran konsensus berbanding 178,000 pada Mac.
“Mata wang tempatan melemah sebanyak 0.31 pernat berikutan peristiwa yang meresahkan di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aktiviti pengambilan untung muncul selepas peningkatan konflik Asia Barat yang menguji sentimen risiko secara ringkas.
Beliau berkata serangan Iran ke atas kapal perang AS yang melalui Selat Hormuz menambah lapisan kewaspadaan baharu terhadap sentimen pasaran.
“Namun, naratif gencatan senjata yang lebih luas masih utuh selepas Presiden Donald Trump terus memberi isyarat bahawa gencatan senjata masih bertahan,” katanya.
Innes berkata pasaran masih percaya kepada perdagangan pengurangan konflik Asia Barat, yang sepatutnya menyokong mata wang Asia dan selera risiko serantau.
“Sebaliknya, pedagang enggan menambah pendedahan baharu sebelum cetakan pekerjaan AS, terutamanya jika angka yang lebih kukuh daripada jangkaan menghalang Rizab Persekutuan AS daripada laluan pelonggaran dan menyokong dolar AS,” tambahnya.
Pada penutup, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5010/5040 daripada 2.4982/5013 pada penutup Khamis, lemah berbanding paun British kepada 5.3354/3416 daripada 5.3202/3263 semalam, dan jatuh berbanding euro kepada 4.6121/6174 daripada 4.5978/6031 sebelumnya.
Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding rakan serantau. Ia susut tipis berbanding dolar Singapura kepada 3.0910/0948 daripada 3.0861/0901 pada penutup semalam, menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1640/1844 daripada 12.1486/1687 sebelumnya, dan kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 225.4/225.7.
Ringgit sedikit berubah berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.46/6.48 pada penutup sebelumnya. — Bernama



