Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada 3.9200/9300
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada 3.9200/9300

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Ringgit dibuka tinggi berbanding bakul mata wang utama, termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang pengumuman data ekonomi utama AS malam ini yang mungkin mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 3.9200/9300 berbanding dolar AS, berbanding penutup semalam pada 3.9220/9260.

Faktor Data Inflasi AS

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks harga pengguna (CPI) AS untuk April akan diumumkan malam ini, dengan CPI keseluruhan dan teras dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.7 peratus (Mac: 3.3 peratus) dan 2.7 peratus (Mac: 2.6 peratus).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Oleh itu, Fed mungkin mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan, manakala kemungkinan pemotongan kadar faedah tahun ini kekal rendah.

“Justeru, ringgit dijangka kekal dalam mod dagangan sisi dalam jangka pendek memandangkan risiko geopolitik masih tinggi dengan pertemuan penting antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping yang dijadualkan minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Prestasi Ringgit Berbanding Mata Wang Lain

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding bakul mata wang utama. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4925/4990 daripada 2.4955/4983 pada penutup Isnin dan kukuh berbanding pound British kepada 5.3312/3448 daripada 5.3331/3383 semalam, tetapi lemah berbanding euro kepada 4.6162/6280 daripada 4.6150/6197 sebelumnya.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau. Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0883/0964 daripada 3.0887/0921 pada penutup semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.1/225.7 daripada 225.2/225.5 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.41/6.43 daripada penutup semalam 6.41/6.42 dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.1374/1759 daripada 12.0900/1083 sebelumnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga