LLM jangka 3.3 juta kenderaan di lebuh raya sempena Aidiladha
LLM jangka 3.3 juta kenderaan di lebuh raya Aidiladha

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan purata jumlah trafik harian di lebuh raya utama dan lebuh raya penghubung mencecah 3.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 27 Mei.

Peningkatan trafik berperingkat

LLM dalam satu kenyataan berkata, aliran trafik dijangka meningkat secara berperingkat mulai hari ini hingga 7 Jun disebabkan pertindihan antara musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah yang panjang.

Rangkaian lebuh raya PLUS dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi iaitu 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dengan 283,000 kenderaan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dengan 209,000 kenderaan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Langkah proaktif LLM

“Bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar untuk pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini, LLM telah mengarahkan semua konsesi lebuh raya untuk melaksanakan beberapa langkah proaktif, termasuk melarang penutupan lorong kecuali untuk kerja-kerja kecemasan dari 23 Mei hingga 2 Jun,” katanya.

LLM juga akan mengaktifkan 34 lokasi Lorong Pintar, termasuk di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS, sambil memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan cekap, termasuk kutipan tol berperingkat di plaza tol kritikal.

Pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan juga akan dijalankan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah, penyediaan 65 tandas mudah alih, serta tempat letak kereta tambahan dan personel, termasuk anggota RELA, di lokasi terjejas.

Nasihat kepada pengguna jalan raya

LLM menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka menggunakan aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mengekalkan baki yang mencukupi dalam akaun Touch ’n Go, e-wallet dan kad debit sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, penunggang motosikal diingatkan untuk berhati-hati dan menggunakan 571 tempat perlindungan motosikal yang disediakan sekiranya cuaca buruk.

Pengguna jalan raya juga boleh mendapatkan kemas kini trafik dan insiden masa nyata melalui saluran rasmi LLM dan aplikasi berkaitan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga