Agrobank lancar Agro Penjaja-i, bantu peniaga dapat pembiayaan hingga RM100,000
Agrobank lancar Agro Penjaja-i, bantu peniaga dapat RM100,000

Agrobank melancarkan Agro Penjaja-i, satu inisiatif baharu yang bertujuan membantu penjaja dan usahawan mikro mendapatkan akses kepada pembiayaan, latihan keusahawanan, literasi kewangan, serta kemudahan digital bagi mengukuhkan perniagaan mereka. Inisiatif ini disasarkan kepada komuniti perniagaan kecil dan sektor tidak formal, selaras dengan usaha memperluaskan keterangkuman kewangan negara.

Skim Pembiayaan Mikro Sehingga RM100,000

Melalui Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000. Selain itu, mereka juga layak mendapat kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Inisiatif ini turut menawarkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan, serta laluan khas atau green lane untuk mempercepatkan proses kelulusan.

Latihan dan Khidmat Nasihat

Kemudahan lain termasuk latihan kewangan dan keusahawanan, khidmat nasihat, serta pembiayaan bagi pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah. Agrobank juga menawarkan pakej DuitNow QR SoundBox serendah RM114 untuk membantu peniaga menerima pembayaran digital dengan lebih mudah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pelancaran oleh Menteri Pertanian

Agro Penjaja-i dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. Mohamad menyifatkan pendekatan holistik Agrobank ini sebagai penting dalam memperkasa komuniti penjaja dan usahawan mikro yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.

“Melalui inisiatif ini, ia bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi turut membantu mereka meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan serta keupayaan pendigitalan perniagaan,” katanya. Beliau menambah bahawa pendekatan menyeluruh ini mampu membantu penjaja meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan, dan memperkukuh kelangsungan ekonomi mereka.

“Pada masa sama, Agro Penjaja-i turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro yang lebih berstruktur, mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai Agro Penjaja-i, sila layari laman web rasmi Agrobank atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga