Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyeru sektor swasta supaya mempertimbangkan pelaksanaan pengaturan kerja yang fleksibel, termasuk dasar kerja dari rumah, seperti yang diamalkan dalam sektor awam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api negara, meringankan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan semangat pekerja.
“Majikan perlu lebih fleksibel dan pragmatik dalam menguruskan operasi mereka memandangkan tekanan kos yang semakin meningkat.
“Sektor swasta tidak boleh terus selesa dengan kaedah lama. Ini masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, menambah pelaburan dalam inovasi dan automasi, serta menjana nilai tambah dan kelestarian yang lebih tinggi,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 LHDN di Cyberjaya.
Pada 1 April lalu, Anwar berkata Kabinet telah bersetuju melaksanakan dasar WFH bagi mereka yang bekerja di kementerian, agensi, badan berkanun, dan syarikat berkaitan kerajaan, berkuat kuasa 15 April.
Beliau berkata dasar itu bertujuan memastikan keselamatan tenaga berikutan kekangan bekalan bahan api akibat konflik Timur Tengah.
Pada Rabu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Malaysia telah menjimatkan kira-kira 334,000 liter bahan api sejak dasar WFH perkhidmatan awam bermula.



