Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengumumkan bahawa permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dibuka mulai 4 Mei 2026.
Beliau berkata, kenderaan berdaftar yang layak milik syarikat pengangkutan darat boleh menikmati subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan kerajaan.
“Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof pada 6 April 2026, pelaksanaan pengagihan subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat melalui SKDS akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Pengurangan Harga @ Bataras di sini hari ini.
Beliau berkata, kadar harga subsidi semasa bagi SKDS untuk sektor pengangkutan darat ialah RM2.15 seliter dan pembelian diesel bersubsidi oleh syarikat pengangkutan darat akan dilaksanakan menggunakan kaedah kad armada.
“Syarikat pengangkutan yang layak dan telah berdaftar dalam SKDS perlu memohon kad armada daripada syarikat minyak terpilih dengan mengemukakan dokumen surat kelulusan dan senarai kenderaan yang boleh dicetak daripada SKDS,” katanya.
Armizan berkata, butiran penuh pelaksanaan pendaftaran akan diumumkan pada 1 Mei 2026.
“Sebagai persediaan untuk pendaftaran, pemilik syarikat dinasihatkan untuk memastikan ketersediaan semua rekod dan dokumen berkaitan seperti pendaftaran syarikat yang aktif dan kenderaan dengan cukai jalan yang sah,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Kempen Pengurangan Harga @ Bataras, beliau berkata ia dianjurkan oleh Bataras Sdn. Bhd. sebagai komitmen beberapa pemain industri dalam membantu meringankan beban rakyat.
“Bataras adalah syarikat tempatan yang telah ditubuhkan sejak 1998 dengan pengoperasian sebanyak 58 cawangan Bataras Supermarket di seluruh Sabah termasuk di Papar. Melalui kempen ini, pengguna berpeluang membeli beberapa barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat.
“Kempen ini berlangsung dari 15 April hingga 30 Jun 2026 melibatkan semua cawangan Bataras Supermarket di Sabah. Ini akan melibatkan tawaran diskaun ke atas barangan terpilih sehingga 70 peratus lebih murah daripada harga asal untuk 9,000 barangan,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya mengalu-alukan pelaksanaan kempen ini sebagai usaha bersama untuk membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat, terutamanya dalam konteks krisis bekalan global berikutan konflik berterusan di Asia Barat.
“Usaha murni ini harus diperluas dan dicontohi oleh lebih ramai pemain industri termasuk sub-sektor runcit yang lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” tambahnya. — Bernama



