Harga RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 5 sen, 10 sen kesan ketegangan Asia Barat
RON95, diesel tanpa subsidi naik 5 sen, 10 sen

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik lima sen dan 10 sen seliter bagi tempoh hari ini hingga 22 Julai, berikutan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kenaikan harga berdasarkan formula APM

Dalam satu kenyataan hari ini, MOF memaklumkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.42 seliter, naik daripada RM3.37 sebelumnya, manakala diesel tanpa subsidi dinaikkan kepada RM4.07 seliter berbanding RM3.97 sebelumnya.

Harga runcit RON97 bagaimanapun kekal tidak berubah pada RM4 seliter.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut MOF, kenaikan itu berdasarkan formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) dan dipengaruhi pergerakan pasaran minyak global sepanjang minggu lalu.

Serangan AS ke atas Iran tingkatkan premium risiko

“Serangan baharu AS ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan premium risiko minyak mentah dan kos perkapalan.

“Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$85 setong, peningkatan kira-kira 20 peratus dalam tempoh dua minggu lalu. Selagi konflik tidak dapat diselesaikan, harga produk petroleum dijangka terus terjejas oleh turun naik pasaran global,” kata kenyataan itu.

Bekalan minyak negara masih mencukupi

MOF menyatakan bahawa walaupun bekalan bahan api negara masih mencukupi pada masa ini, Kerajaan MADANI menggesa orang ramai mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

Menurut kementerian, langkah itu boleh membantu memanjangkan bekalan bahan api negara sambil mengurangkan tekanan ke atas perbelanjaan subsidi.

Harga bahan api bersubsidi kekal

Sementara itu, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah, dengan RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel BUDI MADANI (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada status kelayakan dan baki bulanan masing-masing.

MOF berkata Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga sambil memastikan bekalan bahan api negara mencukupi dan selamat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga