PETALING JAYA: Petronas kini memiliki sepenuhnya Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, yang dikenali sebagai PRefChem, daripada Aramco dari Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat minyak dan gas itu memaklumkan perjanjian ditandatangani hari ini untuk Aramco memindahkan kepentingannya dalam PRefChem, yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang, kepada Petronas. Ini secara efektif menjadikan kedua-dua syarikat itu sebagai anak syarikat milik penuh dan dikendalikan sepenuhnya oleh Petronas.
“Pemilikan penuh PRefChem membolehkan Petronas meningkatkan lagi penjajaran operasi dan fleksibiliti merentasi rantaian nilainya sambil memanfaatkan rangkaian bekalan antarabangsa dan model operasi bersepadu untuk menyokong kebolehpercayaan berterusan dalam pelbagai keadaan pasaran.
“Bagi Aramco, transaksi ini menyokong pengoptimuman strategik portfolio hilirannya, memberikan syarikat fleksibiliti tambahan untuk mengejar pelaburan yang selaras dengan strategi hilirannya,” kata mereka.
Dalam kenyataan berasingan, Petronas memaklumkan anak syarikatnya, Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian dengan Aramco. Ia berkata perkembangan terkini dalam pasaran tenaga global menekankan keperluan untuk memastikan ketangkasan operasi bagi infrastruktur tenaga yang mempunyai kepentingan strategik negara.
“Pemilikan penuh PRefChem mengukuhkan keupayaan Petronas untuk menyokong keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia dan ketahanan industri.
“Pengaturan bekalan minyak mentah antara Aramco dan Petronas di bawah perjanjian komersial sedia ada tidak terjejas oleh transaksi ini,” kata syarikat minyak dan gas negara itu.



