Petronas ambil alih pemilikan penuh PRefChem daripada Aramco
Petronas ambil alih pemilikan penuh PRefChem

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Saudi Arabian Oil Company (Aramco) hari ini mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi pemindahan pegangan ekuiti Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (secara kolektif dikenali sebagai PRefChem) di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, kepada Petronas.

Pemilikan penuh oleh Petronas

Tertakluk kepada keperluan memenuhi syarat-syarat lazim pemuktamadan, PRefChem akan menjadi milik penuh serta dikendalikan oleh syarikat di bawah kumpulan Petronas. Langkah ini membolehkan Petronas terus meningkatkan aspek penjajaran operasi dan fleksibiliti merentasi rantaian nilai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, pemilikan sepenuhnya ke atas PRefChem akan membolehkan Petronas memanfaatkan rangkaian bekalan antarabangsa serta integrasi model operasi bersepadu bagi menyokong kebolehpercayaan berterusan dalam pelbagai keadaan pasaran.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Manfaat kepada Aramco

Bagi Aramco, transaksi ini menyokong langkah pengoptimuman strategik portfolio hilirannya. Ia membolehkan syarikat petroleum Arab Saudi itu meraih fleksibiliti tambahan untuk meneruskan pelaburan yang seiringan dengan strategi hilirannya.

Transaksi telah dimuktamadkan mengikut terma yang dipersetujui bersama dan memaparkan keutamaan strategik kedua-dua pihak terbabit. Petronas dan Aramco akan terus aktif meneroka pengaturan komersial susulan pemindahan kepentingan itu, termasuk penyelarasan bekalan minyak mentah, pertukaran teknologi dan pengedaran produk bersepadu berdasarkan kerjasama yang terjalin sejak beberapa dekad lalu.

Kedua-dua syarikat juga kekal fokus dalam menyampaikan kecemerlangan operasi dan mengekalkan nilai untuk kalangan pihak berkepentingan serta komuniti yang mendapat perkhidmatan syarikat berkenaan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga