Skills4Johor terima RM20 juta bantu tingkat kemahiran tenaga kerja
Skills4Johor terima RM20 juta bantu kemahiran

Inisiatif Skills4Johor menerima peruntukan RM20 juta bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja, sekali gus membolehkan rakyat merebut peluang ekonomi yang tersedia. Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, berkata peruntukan menerusi HRD Corp itu turut bertujuan menyediakan bakat diperlukan bagi menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Komitmen Kerajaan Negeri Johor

“Di Johor, komitmen ini diperkukuh menerusi inisiatif Skills4Johor dengan peruntukan RM20 juta daripada HRD Corp yang dilancarkan bersama Unit Modal Insan Strategik Johor pada 2025. Inisiatif ini diwujudkan bagi menyediakan bakat yang diperlukan untuk menyokong pembangunan JS-SEZ,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Kempas hari ini.

Pencapaian HRD Corp di Johor

Selain itu, beliau berkata pada tahun lalu sahaja, sebanyak 13,425 majikan di negeri itu berdaftar dalam ekosistem HRD Corp, dengan 479,905 pekerja menerima manfaat secara langsung daripada program latihan dan pembangunan tenaga kerja. Katanya, RM208.21 juta levi turut berjaya dikutip tahun lalu, manakala RM183.96 juta disalurkan semula kepada majikan bagi tujuan latihan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Selain itu, RM191.5 juta bantuan kewangan telah disalurkan dan seramai 232,072 rakyat Johor telah menerima latihan. Namun bagi saya, kejayaan sebenar bukan jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi manfaat jangka panjang yang diterima rakyat Johor,” katanya.

Fokus kepada Pekerja Gig

Dalam pada itu, Ramanan berkata kementeriannya juga memberi tumpuan kepada pembangunan pekerja gig menerusi pelbagai program peningkatan kemahiran. “Antaranya Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) bernilai RM710 juta serta program AI MyMahir yang menawarkan latihan kecerdasan buatan (AI) percuma kepada 22,000 rakyat Malaysia,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga