Banci Ekonomi 2026 Sabah capai lebih 60 peratus, disokong pihak berkepentingan
Banci Ekonomi 2026 Sabah capai lebih 60 peratus

KOTA KINABALU, 28 Jun — Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah telah menyelesaikan pengecaman lebih daripada 60 peratus daripada hampir 90,000 pertubuhan perniagaan yang disasarkan di bawah Banci Ekonomi 2026 (EC2026) di negeri itu.

Pencapaian dan Kerjasama Pihak Berkepentingan

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM memaklumkan bahawa pencapaian ini mencerminkan kerjasama erat yang diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan sepanjang pelaksanaan banci dan menandakan kemajuan yang menggalakkan ke arah mencapai sasaran pengecaman.

Bagi meningkatkan lagi kadar respons, DOSM Sabah baru-baru ini mengadakan sesi libat urus EC2026 bersama badan profesional dan persatuan perniagaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Koperasi Sabah, Datuk Dr Jonnybone J. Kurum, dan dihadiri oleh wakil daripada badan profesional, persatuan perniagaan, agensi kerajaan serta pemain industri.

Tema dan Kepentingan Banci

Mengangkat tema 'Data: Nadi Ekonomi Rakyat', EC2026 merupakan banci ekonomi keenam yang dijalankan oleh DOSM untuk mengumpul data komprehensif mengenai prestasi dan struktur ekonomi negara bagi menyokong perancangan, pelaksanaan dan penilaian dasar yang lebih berkesan dan inklusif.

Sementara itu, Jonnybone berkata EC2026 akan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Sabah di bawah pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Pelan Sabah Maju Jaya 2.0

“SMJ 2.0 memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Kejayaan pelaksanaannya memerlukan data yang lengkap, tepat dan terkini untuk menyokong perancangan, pelaksanaan dan pemantauan dasar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencapai RM100 bilion menjelang 2030, selaras dengan aspirasi untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Pada tahun 2024, KDNK Sabah mencatat RM84.3 bilion, dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar pada RM44.2 bilion, diikuti perlombongan dan pengkuarian (RM18.6 bilion), pertanian (RM12.2 bilion), pembuatan (RM6.1 bilion) dan pembinaan (RM3 bilion).

Data Banci Ekonomi 2023

“Berdasarkan dapatan Banci Ekonomi 2023, Sabah mencatat 68,267 pertubuhan perniagaan, menjana keluaran kasar RM182.5 bilion dan nilai ditambah RM96.9 bilion.

“Pertubuhan ini menggaji 610,058 pekerja, dengan gaji dan upah berjumlah RM14.6 bilion, manakala nilai aset tetap berjumlah RM120.3 bilion.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai tulang belakang ekonomi Sabah, merangkumi 62,527 pertubuhan atau lebih 90 peratus daripada jumlah negeri, menyumbang RM47.7 bilion dalam keluaran kasar dan RM26.7 bilion nilai ditambah, serta menggaji 306,117 pekerja,” tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga