PUTRAJAYA: Program Budi Madani Diesel yang akan menyaksikan bahan api disubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai Julai dijangka menjana penjimatan sehingga RM2 bilion setahun melalui pengurangan ketirisan subsidi bahan api.
Penjimatan RM2 bilion setahun
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata reformasi subsidi diesel bersasar bertujuan menyeragamkan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus, dan mesra pengguna. Ini selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak sambil menjaga kestabilan bekalan diesel domestik.
“Melalui program subsidi bersasar ini, kita dapat menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun. Penjimatan ini akan dikembalikan kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Peningkatan mendadak subsidi diesel
Amir berkata, beban subsidi bulanan kerajaan sebelum ini untuk petrol dan diesel adalah kira-kira RM800 juta, tetapi melonjak secara mendadak kepada hampir RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April berikutan kenaikan harga minyak global. Pada masa yang sama, penggunaan diesel meningkat secara tidak normal daripada kira-kira 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan, menunjukkan wujudnya ketirisan yang ketara.
Ketirisan berlaku melalui aktiviti seperti penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan saluran subsidi, di mana pihak yang sepatutnya membeli diesel tanpa subsidi mendapatkan diesel bersubsidi dari stesen minyak. Ini bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan kerajaan, tetapi juga boleh mengganggu dan mengancam bekalan diesel domestik.
Ketirisan di Sabah dan Sarawak
Amir berkata, corak penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak juga menunjukkan trend yang luar biasa, dengan penggunaan semasa menghampiri dua bilion liter setahun berbanding anggaran keperluan sebenar kira-kira satu bilion liter setahun. Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan ketirisan sebanyak satu bilion liter setahun yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan BUDI Diesel menggunakan mekanisme pengesahan MyKad, sama seperti BUDI95, untuk memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi. “Seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di seluruh negara,” katanya.
Peralihan automatik penerima sedia ada
Bagi penerima individu BUDI Diesel sedia ada, bantuan tunai bulanan RM400 sekarang akan digantikan dengan subsidi diesel terus melalui pengesahan MyKad di stesen minyak. Amir berkata, penerima sedia ada akan dipindahkan secara automatik ke mekanisme baharu tanpa perlu mengemukakan sebarang permohonan tambahan.
“Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai, akses awal kepada BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia,” katanya.



