KUALA LUMPUR, 8 Jun — Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama tetapi lemah berbanding dolar AS pada dagangan awal hari ini, susulan pengukuhan dolar AS selepas data pasaran buruh Amerika Syarikat yang lebih baik daripada jangkaan.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0470/0520 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 pada penutup Jumaat lepas.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 100.069 mata selepas pasaran buruh AS menunjukkan daya tahan pada Mei.
“Sementara itu, gaji bukan ladang (NFP) mencatat 172,000, mengatasi anggaran konsensus 85,000, manakala kadar pengangguran kekal pada 4.3 peratus.
“Keputusan kukuh ini berkemungkinan mengekalkan dasar ketat Rizab Persekutuan (Fed) apabila mereka bermesyuarat dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16-17 Jun,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3963/4029 daripada 5.4233/4287, dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.6630/6687 daripada 4.6882/6928, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.5240/5273 daripada 2.5183/5209 pada penutup sebelumnya.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1343/1384 daripada 3.1390/1424, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.3219/3446 daripada 12.3433/3605.
Ia lemah berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.59 daripada 6.55/6.56, dan jatuh berbanding rupiah Indonesia pada 224.3/224.7 berbanding 223.3/223.6 pada penutup Jumaat lepas. — Bernama



