Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 dari 27 Mei hingga 4 Jun.
Butiran Pelaksanaan
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata skim itu melibatkan 12 jenis barangan untuk Sabah dan Sarawak serta 11 jenis barangan untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
"Pelaksanaan skim sembilan hari ini mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga bagi memastikan barangan keperluan dapat diperoleh pada harga berpatutan tanpa membebankan komuniti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas memeriksa Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Kundasang, berhampiran sini hari ini.
Senarai Barangan Terkawal
Armizan berkata untuk SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 10 jenis tahun lepas dengan penambahan halia import dan kentang dari China.
"Barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, sayap ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia import tua dan kentang dari China.
"Bagi Labuan, 11 jenis barangan disenaraikan iaitu daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, sayap ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia import tua dan kentang dari China," katanya.
Beliau berkata perbandingan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan bagi tahun 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga yang lebih stabil di Sabah dan Labuan apabila enam item mencatat penurunan harga, manakala beberapa item lain kekal pada harga semasa.
SHMMP Hari Gawai Sarawak
Bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak, 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 jenis tahun lepas dengan penambahan daging kerbau import dari India.
"Antara barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, sayap ayam, kubis bulat import, bawang putih dari China, cili kering keriting, biji kelapa, kelapa parut dan santan," tambahnya.
Penguatkuasaan
Armizan berkata SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan membenarkan penetapan harga maksimum bagi barangan yang terlibat.
"KPDN akan menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan terhadap skim ini," katanya.
Beliau berkata peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu untuk barangan terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000," katanya. — Bernama



