SHAH ALAM: Seramai 50,000 keluarga kurang berkemampuan di Selangor bakal menerima bantuan tunai RM100 sebulan selama enam bulan menerusi inisiatif Baucar Kita Selangor di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bermula 30 Jun ini.
Inisiatif Bantuan Kerajaan Negeri
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata bantuan itu merupakan antara inisiatif di bawah pakej berjumlah RM140 juta yang diumumkan kerajaan negeri pada 16 April. Langkah ini bertujuan membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta tekanan kos sara hidup ketika krisis bekalan global.
Beliau menjelaskan bahawa penerima dikenal pasti menerusi semakan beberapa pangkalan data sedia ada, termasuk Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Proses Penyaluran Bantuan
“Kita akan mula meneliti senarai penerima bermula 22 hingga 23 Jun sebelum memaklumkan kepada mereka yang layak. Sasarannya supaya penerima boleh mula menggunakan bantuan RM100 sebulan itu bermula 30 Jun dan pembayaran akan diteruskan setiap bulan sehingga tempoh enam bulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pakej tersebut di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Peruntukan Tambahan untuk JER 2026
Menerusi pakej itu, Amirudin berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk Jelajah Ehsan Rahmah (JER) 2026 melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Program ini akan berlangsung dua kali di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor bermula bulan ini. Usaha ini adalah tambahan kepada jumlah RM5 juta sedia ada, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi JER 2026 sebanyak RM10 juta.
Subsidi Tambang Pengangkutan Awam
Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar api konvensional, kerajaan negeri menawarkan Subsidi Tambang Pengangkutan Awam RM30 sebulan kepada 50,000 pengguna melalui aplikasi Nine.
“Subsidi itu mula disalurkan mulai hari sebanyak RM30 sebulan untuk tempoh 6 bulan yang boleh digunakan untuk menaiki jaringan van demand-responsive transit seluruh negeri. Ia juga akan diperluaskan kepada mod pengangkutan awam lain seperti LRT serta komuter KTM dalam fasa seterusnya,” katanya.
Program Sarapan Percuma untuk Pelajar
Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mula memberikan Program Sarapan Percuma kepada 120,000 pelajar yang memerlukan di 965 sekolah seluruh negeri di bawah kendalian Jabatan Pendidikan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Pakej Fasa 2 untuk Industri
Dalam pada itu, katanya, Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang memfokuskan perlindungan kepada sektor industri di negeri itu akan dibentangkan semasa persidangan DUN khas pada 19, 22 dan 23 Jun ini.
Beliau berkata persidangan DUN pada 28 April lalu memaklumkan kerajaan Selangor akan melancarkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu memperkukuh dua subsektor utama negeri, iaitu pembuatan dan perkhidmatan, dalam mendepani impak krisis bekalan global. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan sidang DUN khas yang diadakan nanti hanya akan memfokuskan kepada perbincangan pakej pengukuhan dalam mendepani krisis bekalan global oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan tidak ada kaitan dengan pembubaran DUN.



