Raya yang Tak Syok: Dilema di Sebalik Kemeriahan Aidilfitri
Raya yang Tak Syok: Dilema di Sebalik Kemeriahan

Raya yang Tak Syok: Dilema di Sebalik Kemeriahan Aidilfitri

Di sebalik kemeriahan Aidilfitri yang sering digambarkan sebagai detik manis penuh kemaafan dan kerukunan, terdapat insan yang menyimpan rasa berat hati. Malah, ada yang pernah terdetik dalam hati, kalau boleh, biarlah hari raya itu tidak wujud. Bukan semua orang seronok menyambut 1 Syawal, walaupun perayaan ini dibingkaikan sebagai masa untuk keikhlasan, kekeluargaan, dan kesyukuran.

Budaya Perbandingan yang Menyakitkan

Seorang kawan yang berusia pertengahan merungut, "Bukan soal ibadah 1 Syawal itu. Hari raya itu sendiri tak ada masalah, malah aku mampu menyediakan segala persiapan untuk anak, isteri dan keluarga. Tetapi cara merayakannya dalam keluarga yang buat aku tak suka." Dia menyampah dengan budaya bersembang yang bertukar menjadi medan perbandingan siapa lebih berjaya, anak siapa lebih ‘menjadi’, atau siapa yang dipandang rendah. Apa yang sepatutnya mengeratkan silaturahim, akhirnya menjadi arena untuk meninggi diri dan memperlekehkan orang lain. Tidak ada langsung perbualan yang berilmu, katanya.

Namun, budaya balik kampung masih dianggap suatu kewajipan, terutama selagi ibu bapa masih ada. Tidak pulang bererti mengundang kata-kata sinis. Maka, terpaksalah dia pulang, menghadapi semuanya dengan wajah yang dibuat-buat. Bersalam dan memohon maaf zahir batin kadangkala hanya ritual tanpa roh, kerana selepas itu, umpatan dan sindiran kembali berlegar di meja makan. Masing-masing dengan lagak masing-masing.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beban Kerja Tidak Seimbang

Seorang lagi kawan, wanita berkerjaya profesional yang masih bujang, berkongsi sisi berbeza. Baginya, raya bukan sekadar penat tetapi memualkan. Setiap kali Ramadan berakhir, hatinya mula sebal memikirkan raya yang menjelang. "Tak pasal-pasal saya jadi babu di rumah," katanya. "Kerja memasak, mengemas, menyediakan makanan dan buang sampah semuanya saya kena buat."

Dalam keluarganya, alasan menjaga batas aurat dengan ipar-duai menyebabkan abang atau kakaknya memilih untuk menyewa homestay atau hotel berhampiran. Akibatnya, beban kerja di rumah jatuh sepenuhnya ke atas dirinya yang masih bujang. "Para agamawan sering menekankan soal batas pergaulan dan larangannya, tetapi ustaz dan ustazah ini harus juga menekankan soal tanggungjawab dan adab agar anak yang baik tidak boleh mengambil kesempatan mementingkan diri sendiri."

"Mak ayah dah tua, saya seoranglah yang bertungkus-lumus siapkan rumah. Keluarga abang dan kakak pula hanya datang pagi raya, pakai cantik-cantik, makan lama-lama, lepas itu enak-enak saja pergi keluar beraya. Petang balik hotel. Macam itu ke?" rungutnya lagi. "Kalau buat kerja pun, setakat cuci pinggan keluarga sendiri. Ustaz dan ustazah patut kena sedarkan mereka yang bersikap pentingkan diri ini juga."

Kurangnya Empati dalam Keluarga

Seorang lagi kawan wanita, juga masih bujang dan tinggal bersama ibu bapa, berdepan situasi yang lebih menyakitkan. Biliknya ‘dirampas’ oleh abang atau kakak yang pulang bersama keluarga. Dia terpaksa tidur di atas sofa di ruang tamu. "Sesekali berkorbanlah," usik saya. Dia ketawa, tetapi jelas geram. "Tak bolehkah berenggang sekejap dengan isteri? Ini bukan soal kedekut. Ini ‘common sense’. Saya tak kisah kakak ipar dan anak-anak saya tumpang bilik bersama saya, tapi bolehkah abang saya atau abang ipar saya tidur berasingan dengan bini sekejap? Tidurlah di ruang tamu. Tak kasihankah tengok saya kena tukar pakaian dalam bilik air, sedangkan dia boleh lepak berlama-lama dalam bilik?"

Betul juga, dengus saya. Nampak macam ini bukan isu besar pada zahirnya, tetapi dari sudut perasaan, ia memberi kesan yang mendalam. Ia mencerminkan bagaimana perlunya pertimbangan akal dan empati. Kerana terlalu biasa dengan keselesaan, kita kadangkala selamba tanpa rasa bersalah meminta pihak lain berkorban, sedangkan kita sedikit pun tidak mahu berundur.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Tekanan daripada Soalan yang Mengganggu

"Kadang-kadang bila raya datang, saya rasa nak pergi bercuti saja," kata seorang lagi kawan. "Sekurang-kurangnya tak perlu hadap soalan ‘bila nak kahwin’ berulang-ulang. Lemas dengan manusia-manusia penyibuk ini." Begitulah rungutan sebilangan kawan-kawan yang tertekan apabila berkumpul di hari raya. Ada juga yang tidak suka dengan hari raya kerana suasana keluarga yang berubah akibat perceraian, canggung bergaul dengan keluarga tiri kerana tidak serasi lantaran latar yang berbeza.

Itulah sebabnya, bagi golongan sebegini, hari raya lebih gemar dihabiskan dengan kawan-kawan sahaja berbanding keluarga. Dari sudut pandang majoriti, mereka inilah yang dilihat ‘jahat’ kerana tidak mahu beraya bersama, walhal, mereka makan hati.

Pengalaman Peribadi dengan Anak Istimewa

Seperti saya katakan di awal, saya sendiri memahami sebahagian daripada dilema ini kerana saya juga pernah mengalaminya. Saya pernah mempunyai dua anak yang dilahirkan kurang upaya. Memang tertekan setiap kali raya menjelang. Hendak balik kampung harus berdepan dengan cabaran yang berat, seperti risiko kesihatan anak terjejas akibat alahan bau ubat nyamuk atau penyembur serangga.

Sama seperti yang dialami oleh kawan-kawan tadi, bila sudah ramai, siapa yang sampai awal akan ‘cop’ bilik tidur dulu. Tidak semestinya kita yang mempunyai anak istimewa ini diberikan keistimewaan tidur di dalam bilik. Bila berada di ruang tamu pada hari raya pertama, terpaksalah pula berdepan dengan soalan-soalan tetamu yang duduk mengelilingi anak kami. Ada yang menasihatkan suruh pergi dukun itu dan bomoh ini, ada yang sarankan beli makanan itu dan ini, seolah-olah kami ini ibu ayah yang tidak berbuat apa-apa selama ini. Ini semua membuat orang seperti kami rimas.

Suasana yang menyeronokkan berkumpul ramai-ramai tidak sesuai dengan keadaan orang seperti kami. Tetapi kalau tidak balik, dijadikan bahan umpatan pula. Apabila kita menyebut ‘minal aidin wal faidzin’, kita sewajarnya sudah menghayati bahawa hari raya sepatutnya menjadi ruang untuk kembali kepada fitrah, menjadi lebih baik dengan hati penuh kasih dan ihsan. Maksudnya, kita seeloknya lebih peka terhadap orang lain juga.

Seruan untuk Empati dan Pemahaman

Dalam kita ghairah berkumpul, jangan kita lupa bahawa setiap ahli keluarga kita ada watak dan cerita mereka masing-masing. Alangkah baiknya kita kawal diri untuk tidak menyinggung pihak lain. Raya bukan sekadar tentang baju baharu, juadah melimpah, atau gambar keluarga yang sempurna. Ia tentang rasa dihargai dan difahami tanpa kasta dan darjat.

Minal aidin wal faidzin bukan sekadar ucapan. Ia adalah seruan. Tentang sungutan dan luahan kawan-kawan saya tadi, sewajarnya didengari oleh ahli keluarga yang lain jika mereka dapati apa yang dikatakan tadi berlaku kepada mereka. Tidak usahlah tunggu teguran daripada ustaz dan ustazah barulah akal nak berjalan.

Bukan apa, jika suatu hari ada ahli keluarga kita ini malas pulang beraya, ingatlah bahawa mereka menghilang kerana ingin memelihara hati mereka sendiri agar tidak terlanjur mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan pihak lain. Itulah tindakan yang paling baik bagi mereka. Mereka mahu semua keluarga bergembira dan tidak mahu kehadiran diri mereka pula akan membuat suasana kegembiraan para majoriti terpotong. Faham tak? Maaf zahir dan batin sekali lagi!