Daerah Papar di Sabah dapat tambahan 10 juta liter air sehari
Papar tambah 10 juta liter air sehari

KOTA KINABALU, 17 Jun — Dua projek infrastruktur air yang sedang berjalan di Papar akan beroperasi tahun ini bagi merealisasikan penyelesaian jangka panjang terhadap isu gangguan bekalan air bersih di daerah tersebut.

Komitmen Kontraktor

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata komitmen tersebut diberikan oleh kontraktor dalam mesyuarat khas bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan agensi berkaitan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (SKN) baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata projek menaik taraf pengambilan air Kampung Kabang diberi komitmen untuk disiapkan pada 31 Julai, manakala komponen Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 disasarkan beroperasi secara berperingkat dari Ogos hingga September.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Langkah ini penting untuk membolehkan tambahan bekalan air bersih sebanyak lima hingga 10 juta liter sehari (MLD) segera diagihkan kepada penduduk sebelum operasi penuh merawat tambahan 80 MLD apabila Projek Menaik Taraf LRA Kogopon siap,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Langkah Segera

Sebagai langkah segera bagi menangani gangguan kritikal di kawasan kediaman bertingkat seperti Kondominium Puncak Gloxinia di Kinarut, Armizan berkata JANS akan memasang tangki pengimbang tambahan, selain Pejabat Ahli Parlimen Papar meletakkan tangki statik tambahan di setiap blok terjejas untuk memudahkan penghantaran air bersih.

Menjelaskan lebih lanjut punca krisis, Armizan berkata masalah yang dihadapi di Papar dan kebanyakan kawasan Sabah berpunca daripada pergantungan tinggi terhadap sumber air sungai yang sangat terdedah kepada perubahan cuaca melampau.

Beliau berkata fenomena kemarau panjang yang berterusan dari April hingga Mei tahun lalu menyebabkan air masuk ke saluran masuk dengan paras klorida tinggi, manakala fasa hujan lebat dan banjir menyebabkan kekeruhan air (NTU) tinggi dan peningkatan paras ammonia, yang memaksa operasi loji dihentikan sementara.

Kepentingan Tadbir Urus

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kemahuan politik dalam melaksanakan projek besar seperti takungan atau empangan air yang telah dirancang sejak 20 tahun lalu di Papar, walaupun keputusan itu kadangkala tidak popular dalam jangka pendek bagi sesetengah pihak.

“Kesan semakin dirasai dari semasa ke semasa kerana pergantungan terhadap air sungai tidak mampan untuk bekalan air terawat. Jangan ulangi kesilapan lalu kerana akhirnya implikasinya lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang meluluskan peruntukan kecemasan dengan segera untuk intervensi ini, dibantu oleh hasil fiskal dan kewangan negeri yang semakin kukuh untuk mengembalikan manfaat kepada masyarakat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga