Paradoks Petrol dan Psikologi Survival: Adaptasi atau Terkandas dalam Krisis Global
Paradoks Petrol dan Psikologi Survival: Adaptasi dalam Krisis

Paradoks Petrol dan Psikologi Survival: Adaptasi atau Terkandas dalam Krisis Global

Dunia kini berdepan dengan paradoks yang mendalam: di tengah-tengah konflik bersenjata yang melanda Timur Tengah, khususnya antara Iran dengan sekutu Amerika Syarikat dan Israel, kita bukan sahaja menyaksikan letupan ketenteraan, tetapi juga bom jangka ekonomi yang menggegarkan pasaran global. Sejak serangan besar-besaran pada hujung Februari 2026, Selat Hormuz—yang menyalurkan 20% bekalan minyak dan gas dunia—telah menjadi zon larangan, mencetuskan krisis tenaga yang belum pernah berlaku sebelumnya.

Lonjakan Harga Minyak dan Impak Ekonomi

Harga minyak mentah dunia telah melonjak lebih 40% dalam masa kurang sebulan, mencecah paras USD120 setong. Pakar ekonomi memberi amaran keras: jika blokade di Selat Hormuz ini berlarutan, harga minyak mungkin melonjak ke USD150 setong dalam masa terdekat. Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi satu realiti pahit yang mengancam kestabilan ekonomi global dan kos sara hidup rakyat.

Krisis Psikologi Adaptasi: Dari Penafian ke Penerimaan

Di sebalik angka ekonomi ini, terdapat krisis yang lebih mendalam: krisis psikologi adaptasi. Secara psikologinya, manusia cenderung berada dalam fasa 'denial' atau penafian apabila berdepan perubahan drastik. Ramai berfikir, "Ah, harga minyak akan turun semula bulan depan". Malangnya, harapan palsu ini sebenarnya membunuh persediaan kita untuk menghadapi realiti baharu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut teori 'cognitive dissonance', kita mengalami tekanan mental apabila gaya hidup lama—seperti memandu kereta mewah atau peribadi—bertembung dengan realiti baharu yang pahit, iaitu kos sara hidup yang melambung. Untuk merawat tekanan ini, kita tidak mempunyai pilihan selain menukar tingkah laku sebelum minda kita tumpas dalam kebimbangan yang melampau.

Inisiatif Kerajaan dan Peralihan kepada Pengangkutan Awam

Kerajaan telah mula menyelaraskan kuota subsidi melalui inisiatif seperti BUDI95, yang kini mengehadkan bantuan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Ini bukan sekadar langkah politik, tetapi langkah kelangsungan hidup untuk mengatasi inflasi sektor pengangkutan yang mula merayap naik.

Statistik terbaru daripada data.gov.my menunjukkan satu trend yang menarik: penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang mencatatkan lonjakan purata mingguan sebanyak 32% hingga 47% bagi laluan LRT dan MRT. Mengapa peralihan ini sukar? Kerana bagi kebanyakan kita, kereta adalah simbol status dan 'ruang selamat' (safe space). Namun, psikologi 'sunk cost fallacy' sering memerangkap kita—kita terus memandu kereta yang mahal penyelenggaraannya hanya kerana kita sudah membelinya, walaupun secara logiknya, menggunakan tren jauh lebih menjimatkan.

Manfaat Pengangkutan Awam dan Anjakan Psikologi

Menggunakan pengangkutan awam bukan sekadar menjimatkan antara RM500 hingga RM800 sebulan, tetapi ia membebaskan kita daripada 'Decision Fatigue' atau kepenatan mental akibat menghadap kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya. Satu lagi anjakan psikologi yang perlu dilakukan adalah membuang stigma terhadap berjalan kaki.

Kita perlu membina semula 'self-efficacy' (keyakinan diri) bahawa tubuh badan kita adalah mesin yang paling efisien. Data daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan kita bahawa berjalan 7,000 hingga 10,000 langkah sehari mampu mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 47%. Dari sudut psikologi sukan, aktiviti berjalan melepaskan endorfin—ubat penenang semula jadi yang sangat diperlukan di kala berita perang Iran-Israel menghujani skrin telefon kita setiap saat.

Solusi Hibrid: Basikal dan Kawalan Diri

Bagi mereka yang memerlukan mobiliti lebih pantas, basikal muncul sebagai solusi hibrid. Trend penggunaan basikal mudah alih (portable bike) kini menghapuskan 'hambatan psikologi' tentang keselamatan dan ruang. Dengan basikal yang boleh dilipat dan dibawa masuk ke dalam gerabak tren, pengguna merasakan satu bentuk autonomi atau kebebasan bergerak yang tidak diberikan oleh kereta yang tersangkut dalam jem.

Ini adalah tentang mengambil semula kawalan terhadap masa dan hidup kita. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di Tehran, Tel Aviv, atau Washington. Namun, kita mempunyai kuasa penuh untuk menukar cara kita bertindak balas terhadap krisis ini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Langkah Praktikal untuk Adaptasi dan Survival

Untuk memastikan anda tidak terus 'lemas' dalam krisis tenaga ini, berikut adalah langkah praktikal yang boleh diambil:

  • Audit mobiliti mingguan: Kenal pasti perjalanan yang tidak kritikal. Gunakan prinsip 'batching'—gabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan sahaja untuk memaksimumkan penggunaan setiap liter petrol.
  • Uji cuba laluan rel: Peruntukkan dua hari seminggu untuk menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya. Secara psikologi, memulakan perubahan secara berperingkat lebih mudah diterima oleh minda berbanding perubahan drastik 100% sekali gus.
  • Pelaburan 'batu terakhir': Pertimbangkan untuk memiliki basikal lipat atau kasut berjalan yang berkualiti. Jadikan perjalanan dari rumah ke stesen atau pejabat sebagai sesi senaman ringan yang tidak memerlukan yuran gimnasium.
  • Aplikasi pemantauan petrol: Gunakan aplikasi kewangan untuk melihat secara visual berapa banyak wang yang anda 'bakar' setiap bulan untuk minyak dan tol. Melihat angka sebenar akan mencetuskan motivasi psikologi untuk berjimat.
  • Amalan berjalan berkumpulan: Cari rakan sepejabat untuk berjalan kaki atau menaiki tren bersama. Sokongan sosial (social support) adalah kunci utama dalam mengekalkan perubahan gaya hidup jangka panjang agar ia menjadi budaya, bukan bebanan.

Secara psikologinya, mereka yang paling bahagia dalam krisis bukanlah mereka yang paling kaya, tetapi mereka yang paling pantas menerima realiti dan mengubah gaya hidup. Berhenti merungut tentang harga minyak, dan mulalah melangkah. Gear kehidupan kita harus ditukar sekarang, atau kita akan terus terkandas dalam sejarah yang berulang.

Penulis adalah pensyarah kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.