PUTRAJAYA, 20 Mei — Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) telah mengesahkan bahawa kesemua 10 buah kapal yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 telah dipintas oleh pasukan Israel setakat jam 8.25 malam waktu Malaysia.
SNCC memaklumkan bahawa kapal terakhir yang dipintas, Alcyone, membawa dua rakyat Malaysia iaitu Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai.
“Perkembangan selanjutnya akan diumumkan secara rasmi oleh SNCC. Sidang akhbar akan diadakan esok,” kata SNCC dalam satu kenyataan ringkas malam tadi.
Secara berasingan, GSF menyatakan bahawa mereka telah menerima pengesahan bahawa ratusan peserta awam yang diculik semasa serangan tentera laut Israel yang didakwa menyalahi undang-undang di laut lepas semalam kini sedang diangkut secara paksa oleh pasukan Israel ke sebuah pelabuhan di Palestin yang diduduki.
“Kapal tentera laut yang membawa peserta yang diculik, termasuk doktor, wartawan dan pembela hak asasi manusia dari lebih 40 negara, dijadualkan berlabuh dalam masa kira-kira dua jam,” kata GSF.
GSF menambah bahawa organisasi itu menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua peserta, bersama-sama lebih 9,000 tahanan politik Palestin, sambil menyeru pemimpin dunia untuk menuntut pembebasan peserta flotila, tahanan politik Palestin dan tebusan, serta menamatkan genosid dan sekatan ke atas Gaza.
Organisasi itu juga menyatakan kebimbangan yang serius dan segera terhadap keselamatan fizikal dan kebajikan mereka yang ditahan berikutan testimoni daripada penculikan peserta GSF yang didakwa menyalahi undang-undang pada 29 April di perairan antarabangsa, yang memperincikan corak penyeksaan, penderaan fizikal yang teruk dan keganasan seksual invasif yang didakwa dilakukan oleh pasukan Israel. — Bernama



