KUALA LUMPUR, 21 Mei — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh rayanya setiap hari semasa cuti berturut-turut bermula Jumaat ini.
Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), aliran trafik dijangka mencecah sehingga 50,000 kenderaan sehari pada waktu puncak.
Dalam kenyataan semalam, PLUS menyatakan peningkatan trafik ini disebabkan pertembungan cuti sekolah pertengahan tahun dengan tiga sambutan besar: Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Hari puncak perjalanan bagi kenderaan meninggalkan Lembah Klang dijangka pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei. Manakala untuk perjalanan pulang ke Lembah Klang, hari puncak diramal pada 4, 5, 6 dan 7 Jun.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan balik kampung atau bercuti lebih awal bagi mengelakkan kesesakan. Orang ramai juga digalakkan merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS,” kata kenyataan itu.
Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan optimum, PLUS akan mengaktifkan Lorong Pintar di 33 lokasi yang sering mengalami kesesakan untuk meningkatkan kapasiti lorong, sambil menempatkan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda untuk rondaan 24 jam.
PLUS juga mengoptimumkan operasi dengan membuka semua lorong plaza tol dan memantau trafik masa nyata melalui Pusat Pemantauan Trafiknya.
Melalui kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan agensi lain, PLUS komited untuk melancarkan aliran trafik dan mengekalkan tahap keselamatan tertinggi.
Pemandu boleh mendapatkan kemas kini trafik secara langsung melalui aplikasi PLUS, pembantu maya PUTRI, akaun X @plustrafik dan @lpt2trafik, Papan Tanda Mesej Berubah (VMS), dan stesen radio nasional utama.
“PLUS menasihati pengguna lebuh raya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dan menyemak trafik masa nyata sepanjang musim perayaan,” kata kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya diingatkan untuk memastikan baki Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi (bagi pengguna RFID dan JustGO), menjaga kenderaan dalam keadaan baik, memandu dengan berhati-hati, berehat secukupnya dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua.
Untuk bantuan kecemasan, hubungi PLUSLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220. — Bernama



