Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mengadakan panggilan telefon dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay. Perkara itu dimaklumkan Anwar melalui hantaran di Facebook.
Dalam hantaran tersebut, Anwar menyatakan bahawa beliau sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Vijay atas tanggungjawab besar yang dipikul dalam mentadbir rakyat Tamil Nadu. “Saya juga memaklumkan bahawa saya akan ke India pada bulan September untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS, selain bertemu Perdana Menteri Narendra Modi. Jika masa mengizinkan, saya mungkin akan membuat lawatan singkat ke Tamil Nadu,” kata Anwar.
Anwar turut mendoakan agar Vijay terus diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk memimpin dan mentadbir dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Tamil Nadu.
Pada 12 Mei lalu, Anwar dilaporkan telah mengucapkan tahniah kepada rakannya yang juga ikon filem India Selatan itu atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, sambil menyatakan minat untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan pemimpin tersebut pada masa hadapan.
Vijay, 52 tahun, yang beralih daripada kerjaya lakonan prolifik kepada politik sepenuh masa, mengetuai parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu baru-baru ini. — Bernama



