Tiga maut lori muat ayam rempuh treler di Tanah Merah
Tiga maut lori muat ayam rempuh treler di Tanah Merah

KOTA BHARU, 21 Julai — Tiga lelaki maut selepas sebuah lori lima tan yang membawa muatan ayam merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi Jalan Raya Timur-Barat, Tanah Merah, awal pagi tadi.

Mangsa tersepit dalam lori

Mangsa yang terkorban ialah pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, serta dua penumpang, Mohammad Zakwan Mohd Nor, 16, dan Mohd Haikal Hanifah, 29 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada pukul 4.26 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang dan BBP Tanah Merah ke lokasi kejadian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Operasi menyelamat

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 4.41 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan membawa ayam yang merempuh treler yang diletak di tepi jalan.

“Ketiga-tiga mangsa didapati tersepit dalam lori. Anggota bomba terpaksa mengeluarkan semua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Libatkan 12 anggota bomba

“Operasi ini melibatkan 12 anggota bomba dengan dua jentera dari BBP Kemahang dan BBP Tanah Merah,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga