Rampasan Sarang Burung RM81.8 Juta Kejayaan Terbesar OBK Sarawak
Rampasan Sarang Burung RM81.8 Juta Kejayaan Terbesar OBK

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Sarawak mencatat kejayaan terbesar dengan rampasan aset bernilai RM81.8 juta melibatkan perdagangan haram sarang burung. Operasi bersepadu ini dijalankan dari 1 hingga 16 Jun lalu.

Enam Suspek Ditahan dalam 10 Serbuan

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata enam individu telah ditahan dalam 10 serbuan yang berjaya mematahkan aktiviti pemprosesan dan perdagangan komersial sarang burung secara haram di sekitar Kuching.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut kerana disyaki menuai, mengumpul, menjual dan memiliki sarang burung tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Hidupan Liar.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kes disiasat di bawah Seksyen 33(1) dan 33(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala rampasan dibuat di bawah Seksyen 48(1) ordinan yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di sini hari ini.

Rampasan Bernilai RM98.4 Juta Secara Nasional

Mohd Yusri berkata, dalam tempoh yang sama, operasi OBK di seluruh negara menghasilkan 70 kertas siasatan dibuka dan penangkapan 62 individu, dengan jumlah nilai rampasan aset dianggarkan RM98.4 juta.

Antara barangan yang dirampas dalam operasi itu ialah 16,367 kilogram sarang burung; 223 ekor burung pelbagai spesies; lapan ekor helang; dua ekor tenggiling; 790 biji telur penyu; 4,238 ekor kura-kura pelbagai spesies; 218 ekor salamander axolotl; 116 ekor ikan eksotik; 959 ekor ayam sabung; 1,673 batang kayu balak; 7,600 batang anak pokok pelbagai spesies; 14 keping mikrocip haiwan; dan sembilan ekor mamalia pelbagai spesies.

Serbuan di Lokasi Strategik

“Sepanjang operasi, polis berjaya melakukan beberapa siri serbuan di lokasi strategik, termasuk kemudahan storan, premis kediaman, kenderaan logistik dan rangkaian pengedaran yang dipercayai digunakan oleh pemilik,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga