Pemandu Mercedes-Benz 19 tahun direman dua hari atas nahas maut lima orang
Pemandu Mercedes-Benz 19 tahun direman dua hari atas nahas maut

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah direman selama dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa, termasuk empat ahli keluarga, di Jalan Renggam-Simpang Renggam di sini semalam.

Perintah reman sehingga esok dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, suspek yang merupakan pemandu sebuah Mercedes-Benz A250 dan berpakaian lokap coklat, tiba di premis mahkamah kira-kira pukul 10.20 pagi diiringi pegawai polis.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Semalam, polis mengesahkan penahanan remaja tempatan itu berikutan kemalangan ngeri yang melibatkan lima kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki memandu kenderaannya secara melulu bersama sebuah BMW 530e yang dipandu oleh abangnya berusia 22 tahun.

Beliau berkata kemalangan pada pukul 1.15 petang berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.

Akibat perlanggaran itu, sebuah keluarga berempat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Sementara itu, abang suspek yang memandu BMW 530e dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga