Seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan isterinya maut dalam nahas jalan raya awal pagi tadi di Pekan, Pahang.
Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, dan isterinya Nurulfiza Ardiana Amba, 46, meninggal dunia di tempat kejadian di KM76 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Paloh Hinai, Pekan sekitar jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Zaidi Mat Zin berkata, mangsa memandu Proton Wira dari Kuantan menuju ke Jempol, Negeri Sembilan, manakala sebuah Honda City dalam perjalanan dari Gelang Patah, Johor ke Terengganu.
Menurutnya, Proton Wira tersebut hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan, menyebabkan perlanggaran dengan Honda City.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu Proton,” kata Zaidi seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Empat anak pasangan tersebut yang berusia antara 10 hingga 18 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Muadzam Shah, Rompin.
Pemandu Honda City yang berusia 26 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi isterinya yang sedang hamil, juga 26 tahun, dirawat di hospital yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.



