KOTA BHARU, 9 Jun — Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, memberi jaminan bahawa mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapor di sini akan mendapat tempat tinggal, bantuan dan sokongan yang sewajarnya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Izani Husin, bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan menyelaraskan bantuan untuk mangsa.
“Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan setiap mangsa mendapat tempat tinggal, bantuan dan sokongan yang sesuai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Mohd Nassuruddin berkata beliau menerima berita kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau berkata kejadian yang memusnahkan rumah penduduk dalam sekelip mata itu amat menyedihkan dan dirasai oleh seluruh rakyat Kelantan.
Beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada kematian dilaporkan dan mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba dan penyelamat, pegawai masjid, sukarelawan serta orang ramai yang tampil membantu mangsa.
Semalam, 27 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor.
Punca kebakaran sedang disiasat oleh pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat. — Bernama



