Seorang lelaki maut dalam insiden langgar lari yang dipercayai melibatkan sebuah lori ketika dia sedang memasang bendera parti di tepi Jalan Kuala Sawah-Rantau berhampiran Kampung Belangkan, Seremban pada petang Ahad.
Kejadian sekitar jam 6.40 petang
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 23 tahun berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau semasa menjalankan kerja memasang bendera parti.
"Tiba-tiba, sebuah kenderaan yang dipercayai lori, dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak diketahui, telah melanggar tiang papan tanda dan pejalan kaki yang berada di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lori dipercayai meninggalkan tempat kejadian
Menurut beliau, lori tersebut dipercayai terus meninggalkan tempat kejadian selepas kemalangan itu, dan usaha mengesan pemandu serta saksi sedang giat dijalankan.
"Kesan rempuhan menyebabkan mangsa jatuh ke tepi jalan dan mengalami kecederaan pada muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," tambahnya.
Polis minta kerjasama orang ramai
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di 019-4611794, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di 06-6033222, atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



