KUALA LUMPUR, 25 Mei — Sepasang suami isteri cedera parah selepas kereta mereka dilanggar kenderaan yang dipercayai memecut ketika menuruni cerun di KM3.5 Lebuhraya Kajang-SILK di Kajang semalam.
Butiran Kemalangan
Menurut Harian Metro, kejadian pada jam 9.10 malam itu menyebabkan dua mangsa warga tempatan berusia 60 dan 61 tahun mengalami kecederaan serius di kepala dan lengan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kampung Baru Balakong menuju ke Kajang.
Beliau berkata kereta tersebut dipercayai memecut ketika menuruni cerun sebelum hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain di lorong tengah Lebuhraya SILK menghala ke Kajang.
Mangsa Dihantar ke Hospital
“Dalam nahas itu, seorang pemandu lelaki tempatan berusia 35 tahun turut mengalami kecederaan serius di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan lanjut.
Siasatan Dijalankan
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Naazron menggesa pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhemah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Beliau juga menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 untuk membantu siasatan.



