GEORGE TOWN, 9 Jun — Kebakaran yang memusnahkan pusat hiburan di bekas bangunan Odeon Cinema di Jalan Penang pada 30 Mei lalu, yang mengorbankan seorang warga Myanmar, dipercayai berpunca daripada kerja pemotongan logam menggunakan peralatan oksi-asetilena.
Punca Kebakaran Dikesan
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata siasatan forensik mendapati kebakaran itu berlaku secara tidak sengaja semasa kerja pengubahsuaian di premis tersebut.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua daripada tiga pekerja sedang menjalankan kerja pemotongan logam menggunakan alat pemotong oksi sebelum sisa logam panas jatuh ke atas bahan mudah terbakar di bawah dan mencetuskan kebakaran.
“Siasatan juga mendapati kebakaran bermula di tingkat bawah di bahagian belakang premis, berdasarkan keterangan seorang saksi yang terselamat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Siasatan Lanjutan
Mohamad Shoki berkata pemeriksaan oleh Unit Pengesanan K9 Jabatan Bomba tidak menemui sebarang kesan bahan pemecut api di tempat kejadian.
Beliau memberitahu kebakaran itu melibatkan bangunan warisan dua tingkat dengan keluasan lantai kira-kira 900 meter persegi, dan nilai harta benda serta kerugian yang dialami masih dalam penilaian.
Dalam kejadian itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam 30 Mei. Mayat pekerja binaan, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, ditemui di tingkat bawah berhampiran pintu masuk hadapan bangunan dengan kecederaan lecur darjah pertama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, sebelum ini berkata kes itu telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut, dengan siasatan tidak menemui unsur jenayah.
Bedah siasat menentukan bahawa mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap. — Bernama



