IPOH, 15 Jun — Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Perak meningkat kepada 92 orang daripada 33 keluarga pagi ini, berbanding 17 orang daripada lapan keluarga malam tadi.
Dua daerah terjejas
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan dua pusat pemindahan telah dibuka di dua daerah terjejas — Larut, Matang dan Selama pada pukul 8 malam, serta Manjung pada pukul 11.30 malam semalam.
“Pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama mencatatkan peningkatan bilangan mangsa berbanding malam tadi, menempatkan 41 orang daripada 14 keluarga susulan banjir yang melibatkan Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.
“Sementara itu, pusat pemindahan di SK Beruas di daerah Manjung mencatatkan 51 mangsa daripada 19 keluarga dari kawasan terjejas banjir di Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung,” katanya dalam satu kenyataan.
Amaran ribut petir
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir pada pukul 5.30 pagi hari ini bagi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Bagan Datuk, Manjung serta Hilir Perak.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras air Sungai Perak di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk telah melebihi paras bahaya, dengan bacaan masing-masing 1.38 meter dan 0.66 meter. — Bernama



