KUALA LUMPUR, 20 Mei — Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh rayanya setiap hari sempena cuti berturut-turut bermula Jumaat ini.
Jumlah kenderaan dijangka meningkat
Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), aliran trafik dijangka mencecah sehingga 50,000 kenderaan sehari semasa tempoh puncak. Dalam satu kenyataan hari ini, Plus memaklumkan peningkatan trafik disebabkan pertindihan cuti sekolah pertengahan tahun dengan tiga sambutan besar iaitu Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Hari puncak perjalanan
Hari puncak perjalanan bagi kenderaan meninggalkan Lembah Klang dijangka pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei. Manakala bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang, hari puncak diramal pada 4, 5, 6 dan 7 Jun.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan balik kampung atau bercuti lebih awal bagi mengelakkan kesesakan. Orang ramai juga digalakkan merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPlus-TTA melalui aplikasi Plus,” kata kenyataan itu.
Langkah keselamatan dan keselesaan
Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan optimum, Plus akan mengaktifkan Lorong Pintar di 33 lokasi yang sering sesak bagi meningkatkan kapasiti lorong, serta menempatkan lebih 500 anggota PlusRonda dan LPT2Ronda untuk rondaan 24 jam. Plus turut mengoptimumkan operasi dengan membuka semua lorong plaza tol dan memantau trafik masa nyata melalui Pusat Pemantauan Trafiknya.
Melalui kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan agensi lain, Plus komited melancarkan aliran trafik dan mengekalkan tahap keselamatan tertinggi.
Maklumat trafik terkini
Pemandu boleh mendapatkan kemas kini trafik secara langsung melalui aplikasi Plus, pembantu maya PUTRI, akaun X @Plustrafik dan @lpt2trafik, Papan Mesej Berubah (VMS), serta stesen radio nasional utama.
“Plus menasihati pengguna lebuh raya menggunakan aplikasi Plus, Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dan menyemak trafik masa nyata sepanjang musim perayaan,” kata kenyataan itu.
Peringatan kepada pengguna
Pengguna lebuh raya diingatkan memastikan baki Touch 'n Go atau eWallet mencukupi (bagi pengguna RFID dan JustGO), menjaga keadaan kenderaan, memandu dengan berhati-hati, berehat secukupnya dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua.
Untuk bantuan kecemasan, hubungi PlusLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220. — Bernama



