Dua lelaki asing ditahan atas tuduhan mengemis di KLIA
Dua lelaki asing ditahan kes mengemis di KLIA

PUTRAJAYA, 2 Mei — Polis menahan dua lelaki warga asing awal pagi semalam, disyaki terlibat dalam aktiviti mengemis di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Butir tahanan

Ketua Polis KLIA ACP M. Ravi berkata, suspek berusia 28 dan 45 tahun dipercayai individu yang tular dalam video media sosial meminta wang di terminal itu.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek berasal dari Tajikistan dan Palestin, dan kedua-duanya gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan yang sah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Modus operandi suspek adalah mendekati pengunjung di lapangan terbang untuk meminta wang dengan menimbulkan simpati," katanya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.

Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam sebatan jika sabit kesalahan.

Ravi menasihati orang ramai, terutamanya pengguna lapangan terbang, supaya berhati-hati apabila didekati orang yang tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga