Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah melancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama bagi membantu peniaga pasar tani menghadapi tekanan ekonomi global. Ketegangan geopolitik di Timur Tengah memberi kesan berantai kepada ekonomi global, khususnya sektor pertanian, susulan kenaikan harga bahan api dan baja. Walaupun bekalan makanan negara masih stabil, tekanan ini mungkin meningkatkan kos operasi dan menyumbang kepada kenaikan harga makanan, sekali gus menambah beban kewangan kepada golongan petani dan peniaga kecil tempatan.
Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama
Skim ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu. Ia hadir sebagai penyelesaian kewangan menyeluruh merangkumi pembiayaan mikro, latihan keusahawanan, perlindungan takaful, transaksi digital, dan bimbingan perniagaan. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta disediakan tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 usahawan di seluruh negara.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyediakan kemudahan pembiayaan relevan dan inklusif kepada komuniti agromakanan negara. Ia juga selaras peranan Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan yang memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Manfaat Skim
Di bawah skim itu, Agrobank menyasarkan seramai 1,000 usahawan tani menerima manfaat pembiayaan mikro berjumlah sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan dengan kadar keuntungan serendah 2.5% setahun. Selain pembiayaan, skim itu turut menawarkan kemudahan ‘cashline’ sehingga RM5,000, khidmat latihan pengurusan kewangan, latihan kemahiran pemasaran, serta sesi bimbingan perniagaan secara ‘one-to-one’ selama tiga bulan.
Ketika ini, terdapat kira-kira 280 pasar tani di seluruh negara melibatkan lebih 5,500 peserta, membuktikan potensinya dalam merancakkan ekonomi domestik serta memperkukuh sekuriti makanan negara.
Reaksi Peniaga
Bagi peniaga ikan yang lebih 22 tahun berniaga di Pasar Tani Melawati, Muhamad Nizam Abdul Aziz, 57, skim itu memberi kelegaan khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa. Modal pusingan perniagaannya menelan sekitar RM15,000 untuk dua hari, justeru skim itu amat membantu dan tepat pada masanya.
“Cabaran utama dalam perniagaan ikan ialah modal yang tinggi. Kadang-kadang modal pusingan tidak mencukupi kerana harga ikan yang mahal. Saya perlukan sekitar RM15,000 hanya untuk membeli stok, manakala pulangan pula lebih kurang 20% hingga 25%,” katanya. Nizam berkata, antara faktor utama mendorongnya terus memilih Agrobank ialah kadar keuntungan rendah dan proses permohonan yang mudah.
Seorang lagi peniaga, Ahmad Tarmizi Che Halim, 40, berkata skim pembiayaan Agrobank bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah turut memberi nilai tambah melalui latihan dan pemantauan perniagaan termasuk pengurusan kewangan.
“Kami boleh belajar cara hendak urus duit lebih efektif termasuk mengira kos perniagaan,” katanya yang berniaga di enam lokasi sekitar ibu kota.
Cara Permohonan
Permohonan Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama dibuka hingga 31 Disember ini tertakluk kepada terma dan syarat. Usahawan dan peniaga pasar tani boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Agrobank atau mengunjungi cawangan berhampiran.



